Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pua: Mahathir tak percaya pasukan dipilih rakyat
Diterbitkan:  Dec 12, 2021 9:10 AM
Dikemaskini: 1:14 AM

Dalam bahagian ketiga penafiannya terhadap tuduhan Dr Mahathir Mohamad, ahli parlimen DAP, Tony Pua berkata kekecewaan terbesarnya terhadap bekas perdana menteri itu adalah apabila dia tidak pernah dapat mempertahankan diri dan menjelaskan sebarang isu secara langsung.

“Seluruh persepsi beliau terhadap saya, saya kini boleh mengesahkan, digambar dan dibentuk oleh kalangan ahli perniagaan yang dia temui, dan mungkin sentimen politik yang ditimbulkan oleh penentang dalam Bersatu dan Umno.

"Tidak pernah ada pertemuan santai di mana dia boleh menemui saya dan membuat pertimbangan sendiri mengenai siapa saya.

"Dia tidak pernah memberi saya peluang untuk mempertahankan diri. Dia tidak mempercayai pasukan yang dipilih rakyat," kata Pua dalam bahagian ketiga perang mulut antara dia dan Mahathir.

Pua berkata, dia sebenarnya telah cuba mengekalkan sikap merendah diri semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) untuk mengelak daripada mencetuskan kemarahan Mahathir.

Pemimpin DAP itu juga berkata dia tidak pasti mengenai 'ahli perniagaan Cina' yang dikatakan tersinggung dengan dirinya.

Sebelum ini Mahathir dan Pua adalah pemimpin kerajaan Pakatan Harapan. Langkah politik Bersatu dan sebahagian ahli parlimen PKR membawa kepada kejatuhan kerajaan ketika itu.

Perang mulut yang semakin sengit antara kedua-duanya mendedahkan terdapat perpecahan dalaman berlaku dalam kerajaan ketika itu.

Terdahulu pada bahagian kedua jawapan balasnya, Pua mengimbas kembali surat terbuka yang ditulisnya pada Oktober 2018 yang menimbulkan kemarahan bekas perdana menteri itu.

Surat itu ditujukan kepada pengarah MMC-Gamuda berkenaan projek MRT2. Pada masa itu, Pua adalah setiausaha politik kepada menteri kewangan Lim Guan Eng.

Sebaliknya, MMC Gamuda mendakwa Pua memfitnah dan menyifatkan dakwaan ahli parlimen DAP itu bahawa mereka telah melobi Mahathir semasa kerajaan sedang berusaha mengurangkan kos projek MRT2 sebagai rekaan.

"Mengenai dakwaan kami melobi Mahathir', kami cukup tahu Mahathir membuat keputusan awal-awal lagi bahawa pendekatan terbaik adalah dengan menulis surat kepadanya secara rasmi atas kapasitinya sebagai perdana menteri di mana kami membentangkan kes kami dan menyerahkannya kepada kebijaksanaan beliau untuk memikirkan sesuatu keputusan," jelas Pua.

Pua dalam bahagian 1 kenyataannya menjawab dakwaan Mahathir, dalam buku terbarunya bertajuk Capturing Hope: The Struggle Continues for a New Malaysia, di mana bekas perdana menteri itu mengatakan dia terpaksa menghentikan salah seorang penasihat Lim kerana melampaui bidang kuasanya.

Walaupun Mahathir tidak menyebut sebarang nama secara khusus, Pua percaya ia ditujukan kepadanya dan mendakwa cara paling mudah untuk mencetuskan kemarahan Mahathir adalah “menyasarkan titik lemahnya (soft spot) berkenaan beberapa ‘bos perniagaan besar’ yang dilayan secara tidak adil”.

Pelancaran buku Mahathir secara atas talian dilakukan selepas kenyataan dibuat Pua dan bekas perdana menteri tidak lagi berselindung dengan melancarkan kritikan pedasnya, kali ini dengan menamakan sasarannya.

Mahathir menyifatkan pemimpin DAP itu sebagai “angkuh” dan mendakwa dia tidak disenangi ramai.

“Bila anda bukan pun menteri dan hanya setiausaha politik - tetapi beritahu orang apa yang perlu dibuat dan mengugut mereka serta bercakap dengan cara anda - anda adalah angkuh dan orang tak akan suka anda.

“Kerana seorang ini, ramai orang tidak suka kerajaan (PH) kerana mereka rasa kerajaan tidak bertimbang rasa terhadap permasalahan mereka,” katanya lagi.

Baca kenyataan penuh Tony Pua di sini.

Lihat Komen
ADS