Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pihak berkuasa turunkan poster kempen DAP isu harga sayur naik
Diterbitkan:  Dec 13, 2021 9:04 PM
Dikemaskini: 4:00 PM

PRN SARAWAK | Di Kuching, nampaknya bukan harga sayur-sayuran yang turun, sebaliknya papan iklan kempen yang membangkitkan isu tersebut yang diturunkan.

Menurut calon DAP Batu Kawah Kelvin Yii, bahan kempen itu merupakan satu daripada dua pan iklan DAP di kawasan sekitar Kuching yang diturunkan pihak berkuasa hari ini.

Satu lagi papan iklan mengingatkan pengundi tentang kepentingan undi mereka, dengan memaparkan bagaimana keputusan PRU 2018 menyebabkan Najib Razak didakwa, sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dimansuhkan dan sekolah Cina mendapat dana.

Dalam kenyataan hari ini, Yii berkata papan iklan tentang kepentingan undi itu bertujuan untuk mengupayakan pengundi, tetapi pihak berkuasa memberitahunya yang ia melanggar Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Seksyen itu melarang bahan kempen yang boleh menyebarkan “perasaan jahat” dan “permusuhan”.

Satu lagi papan iklan memaparkan sayuran jenis pak choi dengan perkataan “harga naik” dan “GPS kerajaan gagal, rakyat kesusahan”.

 “Walaupun pihak berkuasa berjaya ‘memadam’ mesej kami daripada papan iklan, taktik menindas seperti ini tidak akan memadamkannya daripada ingatan rakyat.

“Menerusi kuasa peti undi, kita akhirnya melihat salah satu kleptokrat terbesar dunia disabitkan bersalah di mahkamah. Perkara seperti itu tidak akan terjadi tanpa ramai orang Sarawak yang mengundi,” katanya lagi.

Mengulas tindakan menurunkan papan iklan berkenaan harga sayuran itu, Yii berkata: "Kita minta turunkan harga barang, mereka pula turunkan billboard".

Terdahulu, pihak berkuasa di Kuching juga menurunkan dua papan iklan kempen milik calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi).

Ia memaparkan lembu sedang meragut rumput dan satu lagi memaparkan gunting yang memisahkan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggariskan peraturan ketat bagi PRN kali ini, termasuk melarang perkumpulan dan calon untuk merentas kawasan pilihan raya yang ditandingi mereka untuk berkempen.

Beberapa calon pembangkang membangkitkan isu keperluan permit polis, had masa dan lokasi ceramah serta jumlah hadirin di kawasan pedalaman, yang menurut mereka meletakkan mereka dalam keadaan sukar.

Lihat Komen
ADS