Rufaqa mahu perjelas kekeliruan tentang aktivitinya
Rufaqa Corporation, entiti perniagaan milik bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad mengajak pihak berkuasa agama dan keselamatan negara bersemuka untuk berdialog bagi menjelaskan kekeliruan terhadap aktiviti syarikat itu.
Rufaqa Corporation, entiti perniagaan milik bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad mengajak pihak berkuasa agama dan keselamatan negara bersemuka untuk berdialog bagi menjelaskan kekeliruan terhadap aktiviti syarikat itu.
"Janganlah bersikap baling batu sembunyi tangan dalam menghadapi masalah sesama Islam ini. Bahkan perbezaan pendapat dalam hal-hal agama ini sebenarnya satu kebaikan kalau kita pandai mengambilnya," kata Setiausaha syarikat Rufaqa, Zulkifli Awang Kechik. [ view video here ]
Beliau berkata, pihaknya bersedia memberi kerjasama kepada kerajaan kerana Rufaqa tidak mahu menimbulkan kacau bilau dan bermusuh dengan mana-mana pihak.
"Tuduhan bekas-bekas ahli Al Arqam yang mengatakan ada agenda di sebalik Rufaqa adalah satu fitnah kerana Rufaqa hanya berniaga dan motivasi yang dibuat adalah untuk menanam semangat dan menguatkan jiwa dalam perniagaan," katanya.
Bercakap dalam sidang media di ibu pejabat Rufaqa Corporation Sdn Bhd di bandar Country Homes, Rawang hari ini, Zulkifli (foto atas) menjelaskan, misi syarikat selari dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan Islam dan bangsa Melayu dalam ekonomi.
"Rufaqa telah menceburi pelbagai bidang perniagaan seperti kedai runcit, kafetaria, butik, agensi pelancongan, kebudayaan, bengkel kereta, klinik dan bakeri.
"Bahkan ia telah berjaya dikembangkan ke luar negara seperti Singapura, Thailand, Indonesia dan Jordan dan mempunyai 700 rangkaian perniagaan di seluruh dunia," katanya.
Salah tafsir
Zulkifli berkata, Rufaqa beroperasi dengan keyakinan pada Tuhan dan ajaranNya hingga mampu bertahan dan berkembang tanpa pinjaman bank.
"Tentu sukar bagi sesetengah pihak untuk mempercayainya, maka tidak hairanlah ia telah mencetuskan pelbagai salah faham dan salah tafsir," ujarnya lagi.
Zulkifli juga menafikan dakwaan pihak tertentu yang mengatakan Pengerusi Rufaqa, Ashaari menggunakan syarikat itu sebagai pusat untuk menghidupkan semula kumpulan dan ajaran Al-Arqam.
"Kalaulah benar apa yang ditulis di akhbar itu, bukan sahaja orang lain, malah kami, staf Rufaqa pun akan lari dari Haji Ashaari," tegasnya.
Menurutnya, kalau benar Ashaari mempunyai agenda yang boleh mengancam keselamatan negara dan agama Islam, tentu pihak keselamatan tidak akan membebaskan beliau dari tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
"Sepuluh tahun Haji Ashaari "diISAkan" telah membuktikan beliau tidak ada agenda yang boleh mengancam keselamatan negara. Sebab itulah beliau dibebaskan. Kalaulah ada agenda lain selain dari perniagaan, tentulah Haji Ashaari tidak akan dibebaskan hingga sekarang," katanya lagi.
Sementara, orang kanan Ashaari, Abu Zarim Tahrim pula menafikan beliau cuba menghidupkan semula ajaran Al-Arqam menerusi sebuah VCD ceramahnya.
Edar VCD lama
Menurutnya, VCD itu mengandungi rakaman ceramah lamanya yang tidak sepatutnya berada dalam edaran.
"Isu yang diperkatakan dalam VCD itu adalah isu lama yang telah selesai. Saya sendiri tidak lagi berpegang dengannya dan sudah tidak memperkatakannya lagi. Jakim dan pihak keselamatanpun sudah lama tahu perkara tersebut," jelasnya.
Abu Zarim (foto kanan) mendakwa VCD itu diedarkan di masjid, surau dan tempat terbuka di Selangor oleh beberapa bekas anggota Al-Arqam yang iri hati dengan kemajuan Rufaqa.
"Mereka mencetak dan mengedar VCD itu tanpa izin dengan niat merosakkan nama Rufaqa dan menikam saya dari belakang," katanya.
Kira-kira 10 minit selepas sidang media itu berakhir, pegawai-pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah menyerbu ibu pejabat Rufaqa itu dan menahan Abu Zarim dan Zulkifli di bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor.
Pada hari Sabtu lalu, empat 'syeikh' Rufaqa telah ditahan dalam satu serbuan Jais di sebuah premis di Shah Alam.

