Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata institusi parlimen di negara ini sepatutnya mampu berfungsi dengan lebih baik berbanding apa yang ada sekarang.

Ketika ini katanya kedudukan demokrasi Malaysia semakin mundur.

Hal itu kerana, kata bekas menteri besar Negeri Sembilan itu, pihak parlimen lebih mengutamakan aturan mesyuarat berbanding pertanggungjawaban kerajaan kepada rakyat.

"Parlimen adalah medan utama untuk semua kemaslahatan negara dan rakyat di bincang dan didebatkan.

"Ia bukan institusi pegun dan hanya berfungsi mengikut agenda mesyuarat rutin.

"Ia adalah institusi moral dan demokratik yang paling utama dalam hidup berbangsa dan bernegara," katanya dalam kenyataan dibuat malam tadi.

Mengiringi kenyataan tersebut ialah laporan mengenai keengganan Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun menerima usul tergempar bagi membincangkan isu banjir pada kelmarin.

Azhar yang juga bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya itu berkata usul terbabit ditolak kerana ia tidak terkandung dalam urusan aturan mesyuarat Dewan Rakyat.

Rakyat lebih besar

Antara ahli parlimen yang berucap bagi mengemukakan usul tersebut ialah Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu (Kota Raja).

Sejak Sabtu lalu banjir besar melanda beberapa negeri dengan kesan buruk terbesar berlaku di Selangor dan Pahang. Setakat hari ini hampir 30 orang sudah kehilangan nyawa akibat bencana tersebut.

Mohamad berkata parlimen merupakan tempat terpenting bagi membincangkan sesuatu krisis oleh semua wakil rakyat.

Di situ juga, katanya, kerajaan mesti menjelaskan segala tindakan - mengikut bidang kuasanya - untuk menangani segala krisis yang timbul.

"Akauntabiliti kerajaan bukan untuk dijelaskan dalam sidang akhbar. Ia mesti dilakukan di parlimen sesuai dengan status dan peranan parlimen itu," katanya.

Tambah Mohamad tindakan menafikan usul tergempar bagi membahaskan kemaslahatan negara ketika ia menjadi keperluan paling mendesak dan berlaku pada saat paling genting adalah tindakan sangat tidak sensitif serta pengabaian tanggungjawab yang serius.

"Tiada agenda lebih besar dan lebih utama daripada krisis banjir luar biasa yang melanda negara beberapa hari lepas.

"Tiada aturan mesyuarat yang boleh mengatasi kepentingan rakyat kebanyakan yang kehilangan harta benda, nyawa dan memerlukan segala usaha penyelamatan yang segera.

"Tiada siapa yang lebih besar di parlimen selain rakyat dan kepentingan mereka," katanya.