Penggabungan Utusan-NSTP dibatalkan?
Mungkinkah cadangan penggabungan kumpulan Utusan Melayu dengan New Straits Times Press (NSTP) ditangguhkan ekoran kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi minggu lalu?
Mungkinkah cadangan penggabungan kumpulan Utusan Melayu dengan New Straits Times Press (NSTP) ditangguhkan ekoran kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi minggu lalu?
Spekulasi cadangan penggabungan itu ditangguh atau dibatalkan timbul berikutan pembatalan sidang akhbar dan majlis taklimat pengumuman cadangan penggabungan tersebut yang sepatutnya diadakan petang ini.
Mengikut jadual asal yang disebarkan kepada media massa oleh firma perhubungan awam yang mewakili kedua-dua "gergasi" media itu, sidang akhbar tersebut sepatutnya berlangsung pada jam 4.45 petang di sebuah hotel di Damansara, Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, firma perhubungan awam itu mengumumkan pembatalan majlis tersebut pagi ini tanpa memberikan sebab-sebabnya.
Bagaimanapun seorang pegawai kanan Media Prima yang dihubungi malaysiakini berkata, pihaknya diarahkan oleh pihak pengurusan tertinggi syarikat untuk membatalkan sidang media itu.
Pembatalan itu dikatakan mempunyai kaitan dengan keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno (MT) Jumaat lalu.
Difahamkan, dalam mesyuarat tersebut, sebahagian besar ahli MT tidak bersetuju dengan cadangan penggabungan yang dikhuatiri akan melenyapkan identiti dan peranan akhbar
Utusan Malaysia
sebagai wadah dan lidah rasmi orang Melayu dan Umno.
MT bincang
Difahamkan ahli-ahli MT telah membincangkan kebaikan dan keburukan penggabungan tersebut dan dikatakan hanya lima daripada 48 anggota MT bersetuju dengan cadangan tersebut.
Abdullah telah memberitahu sidang media selepas mesyuarat tersebut petang Jumaat lalu, tentang keinginannya untuk melihat kedua-dua syarikat akhbar itu kekal seperti sekarang.
"Saya punya pandangan ialah rakyat lebih suka melihat identiti surat khabar yang berkenaan dikekalkan kerana masing-masing ada identitinya, ada sejarahnya, dan ada imejnya masing-masing ," kata Presiden Umno itu.
Beliau berkata, walaupun penggabungan itu akan membawa perubahan kepada kekuatan kewangan syarikat yang berkenaan, ia tidak harus menjadi faktor untuk mengetepikan kemegahan dan kemasyhuran akhbar yang telah lama wujud itu.
"Suratkhabar ini kemegahan dia, kemasyhuran dia, bergantung kepada lama mana dia dapat hidup. Berapa lama dia boleh hidup dan tentunya Utusan telah berjaya wujud sejak bertahun lamanya ," tegasnya.
Andaian mengatakan jika diteliti kenyataan Abdullah itu jelas menunjukkan semua akhbar yang sedia ada dibawah Utusan dan NSTP akan kekal seperti sediakala - jika sekalipun berlaku penggabungan.
Kumpulan Utusan Melayu kini menerbitkan akhbar harian
Utusan Malaysia
dan tabloid
Kosmo!
serta
Mingguan Malaysia
. Kumpulan NSTP pula mengeluarkan akhbar
New Straits Times
,
Berita Harian
dan
Harian Metro
.
Pemerhati politik dan pasaran mentafsirkan kenyataan Abdullah itu sebagai isyarat wujudnya pertimbangan semula mengenai penggabungan tersebut selepas mendapat pandangan ahli MT.
Umno menerusi pemegang amanah, menguasai kira-kira 50 peratus ekuiti dalam kumpulan Utusan Melayu dan kira-kira 40 peratus kepentingan dalam NSTP menerusi Media Prima Sdn Bhd, syarikat pelaburan yang juga dikaitkan dengan parti pemerintah itu.

