Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap individu positif Covid-19 yang melanggar perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO).

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata ia susulan data yang diperoleh dari aplikasi MySejahtera antara 1 dan 28 Dis lepas menunjukkan sebanyak 1.4 peratus individu positif Covid-19 telah melanggar perintah tersebut.

“KKM sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan ke atas individu berkenaan.

“Sebelum ini kita (KKM) tidak ambil apa-apa tindakan tetapi walaupun hanya 1.4 peratus kita akan kenakan tindakan. Data aplikasi MySejahtera menunjukkan mereka keluar semasa HSO sebab ada rekod ‘check-in’,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Khairy berkata golongan tersebut boleh dikenakan denda RM1,000 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Sementara itu, mengenai persediaan Malaysia ke arah fasa endemik, Khairy berkata usaha itu terbantut kerana kemunculan varian Omicron malah masih terlalu awal untuk KKM menjangkakan tahap keseriusan varian tersebut.

"Kita bersedia untuk gelombang Omicron dari segi kawalan sempadan diperketat, keupayaan pengesanan kontak dipertingkatkan dengan teknologi, lebih ramai orang menerima suntikan dos penggalak dan memastikan kapasiti hospital bersedia untuk lonjakan (kes)," katanya.

Bagaimanapun, Khairy berkata KKM sentiasa bersiap siaga dan bersedia meningkatkan pengawasan terhadap varian tersebut.

Sementara itu, Khairy berkata KKM turut menyarankan agar ciri Bluetooth Tenaga Rendah (BLE) MySJ Trace di aplikasi MySejahtera digunakan oleh masyarakat ketika berada di tempat awam, dalam pengangkutan awam, di kedai makan dan pusat membeli-belah.

Kata Khairy, MySJ Trace menggunakan teknologi BLE bagi mengesan kontak rapat iaitu individu yang berada dalam jarak dan waktu tertentu dengan kes positif Covid-19.

Khairy berkata sekiranya individu yang dikesan positif bersetuju berkongsi maklumat dengan KKM barulah notifikasi akan dihantar kepada individu sebagai kontak kasual.

"Maklumat itu hanya terkandung dalam telefon anda. Hanya jika anda mahu berkongsi bagi kebenaran itu sahaja. Kami tidak menyimpan maklumat itu. Kalau tidak, Apple and Google tidak akan lulus penambahbaikan ini sebab mereka sangat prihatin dengan data peribadi," katanya.

Mmenurutnya, ketika ini, KKM hanya menggalakkan dan menasihati masyarakat untuk menggunakan ciri itu namun tidak menolak kemungkinan mewajibkannya untuk kemasukan ke premis jika penggunaan MySJ Trace tidak menggalakkan.

Jelas Khairy, ciri MySJ Trace akan membantu KKM dari segi pengesanan kontak dan memastikan masyarakat hidup bersama Covid-19 dalam suasana selamat serta bertanggungjawab dengan data, teknologi dan peranti memastikan tiada tindakan drastik seperti sekatan.

MySJ Trace merupakan antara fungsi mudah alih pengesanan kontak menggunakan pendekatan dorongan masyarakat dengan telefon bimbit pengguna akan saling bertukar maklumat apabila berada dalam jarak tertentu.

Pertukaran maklumat itu adalah satu interaksi antara pengguna MySJ Trace yang membolehkan identifikasi individu yang pernah berada berdekatan dengan seorang lagi individu yang positif Covid-19.

Selain itu, Khairy berkata pertemuan dengan beberapa persatuan secara maya telah sepakat menyuarakan usaha memperketat saringan di pintu masuk premis dan menggalakkan penggunaan MySJ Trace.

Antaranya Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA), Majlis Acara Perniagaan Malaysia (BECM), Persatuan Penganjur dan Pembekal Persidangan dan Pameran Malaysia (MACEOS), Persatuan Pengurusan Kompleks (PPK) Malaysia, Prasarana Bhd dan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma).

Dia juga berkata aspek pengudaraan akan dipertingkat bagi memastikan usaha memutuskan rantaian penularan yang berkesan.

Khairy turut menyeru masyarakat agar memberi kerjasama kepada pengurus premis dan pegawai keselamatan yang meminta untuk menyemak status mereka di aplikasi MySejahtera. 

- Bernama