Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Sekolah Cina, Tamil sah di sisi undang-undang'
Diterbitkan:  Dec 29, 2021 12:25 PM
Dikemaskini: 10:18 AM

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menolak saman yang difailkan oleh beberapa kumpulan pendidikan Melayu / Islam seperti Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) dan Gabungan Penulis Nasional (Gapena) yang mahu mahkamah mengisytiharkan kewujudan sekolah vernakular sebagai tidak mengikut perlembagaan.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantara di sekolah-sekolah tersebut adalah sah di sisi undang-undang.

Malah kata hakim itu, sekolah vernakular juga dilindungi oleh perlembagaan.

Justeru, dia memutuskan bahawa kewujudan sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan atas alasan mereka  bukanlah satu badan statutori atau pihak berkuasa tempatan yang wajib menggunakan bahasa kebangsaan.

“Kewujudan dan penubuhan sekolah-sekolah berkenaan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan malah kewujudannya telah diiktiraf dan dilindungi sejak merdeka.

“Penggunaan bahasa lain selain bahasa Malaysia yang merupakan bahasa kebangsaan juga tidak bertentangan dengan Perlembagaan kerana sekolah venakular bukanlah satu badan statutori atau pihak berkuasa awam yang wajib menggunakan bahasa kebangsaan,” katanya.

Dia berkata ketika ini, terdapat lebih 1,800 sekolah vernakular di seluruh negara dengan kira-kira setengah juta pelajar daripada komposisi kaum yang berbeza secara keseluruhan.

“Oleh itu, penggunaan bahasa terbabit tidak bercanggah dengan perlembagaan dan dilindungi di bawah pengecualian dalam Perkara 152(1) (a) dan (b) Perlembagaan Persekutuan.

“Tafsiran yang benar dan tepat kesemua proviso ini dalam Perkara 152(1) tidak menghalang penubuhan dan penyelenggaraan sekolah vernakular sebagai sekolah jenis kebangsaan yang turut menggunakan Kurikulum Kebangsaan seperti yang diterima pakai oleh semua sekolah dalam Sistem Pendidikan Negara,” katanya.

Dia juga memutuskan bahawa tidak ada asas untuk menyatakan bahawa penubuhan serta kewujudan sekolah vernakular adalah tidak konsisten atau bercanggah dengan Perkara 5, 8, 10, 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan.

Hakim itu berkata dalam apa jua keadaan, tidak pernah dibuktikan bagaimana penubuhan dan kewujudan sekolah vernakular telah mencabuli hak asasi mana-mana orang seperti yang dijamin dalam Perkara terbabit di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Kemasukan ke sekolah vernakular adalah satu pilihan. Sukar untuk melihat bagaimana penubuhan dan kewujudan sekolah vernakular Cina dan Tamil melanggar hak asasi mana-mana orang di bawah Perlembagaan,” katanya.

Nazlan juga berkata mahkamah secara amnya akan lebih cenderung kepada keperlembagaan sesuatu statut atas dasar bahawa Parlimen memahami dan menghargai keperluan rakyat.

“Ini juga telah disifatkan sebagai tangguhan kehakiman iaitu mahkamah hendaklah mematuhi keputusan badan perundangan yang dipilih secara demoraktik. Ia juga adalah aspek penting kepada doktrin pengasingan kuasa,” katanya.

Hakim itu juga berkata ini adalah sebab mengapa penghakimannya lebih memfokus kepada tafsiran Perkara 152(1) dan tidak mendalami isu peranan bahasa kebangsaan dalam mempromosi identiti serta perpaduan nasional, atau perjalanan berterusan pembinaan bangsa.

Dia berkata persoalan kritikal mengenai standard pembelajaran dan pengajaran di semua sekolah, sama ada sistem pendidikan negara benar-benar inklusif, dan sama ada kemajuan serta kecemerlangan akademik diutamakan berbanding perkara lain adalah isu yang sebaiknya ditangani oleh Eksekutif dan Badan Perundangan.  

Pada Disember 2019, GPMS, Mappim dan Gapena mencabar kewujudan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil. Ketiga-tiga plaintif telah menamakan kerajaan dan 13 lagi sebagai defendan.

Antaranya ialah Dong Zong dan Jiao Zong, Persatuan Thamizhar Malaysia, Persatuan Tamilar Thurunal (Perak) serta empat parti politik iaitu MIC, MCA, Gerakan dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia.

Ketiga-tiga plaintif mendakwa sekolah vernakular bertentangan dengan penggunaan bahasa kebangsaan di bawah Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Mereka memohon untuk mendapatkan perisytiharan bahawa seksyen 2,17 dan 28 dalam Akta Pendidikan 1996 yang membenarkan penggunaan dua bahasa terbabit di sekolah vernakular adalah bercanggah dengan peruntukan 152(1)(a) perlembagaan.

Mereka juga memohon perisytiharan kewujudan dan penubuhan sekolah terbabit bertentangan dengan perlembagaan.

Perkara 152 (1)(a) menyatakan bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu dan tiada sesiapa yang boleh dilarang menggunakan (selain bagi maksud rasmi) atau daripada mengajar atau belajar bahasa lain.

Lihat Komen
ADS