Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini menolak kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melalap Datuk Peter Anthony yang mendakwa bahawa parti itu telah tersasar daripada perjuangan asal apabila melebarkan sayapnya ke Semenanjung.

Shafie berkata langkah ke Semenanjung itu mendapat sokongan daripada Majlis Tertinggi parti sebelum ini, dan pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Warisan 12 Dis lepas, seluruh anggota Majlis Tertinggi serta anggota parti turut menyokong penuh keputusan itu.

"Keputusan melebarkan sayap parti Warisan ke Semenanjung adalah langkah bagi menawarkan satu lagi pilihan kepada semua pengundi di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Peter, 50, yang juga bekas Naib Presiden Warisan mengumumkan keluar daripada parti itu selepas mendakwa parti berkenaan telah tersasar dalam perjuangan membela rakyat Sabah apabila ia melebarkan sayapnya ke Semenanjung.

Peter turut mengumumkan hasratnya menubuhkan sebuah parti baharu yang akan berkerjasama dengan Kerajaan Sabah di bawah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Mengulas tindakan Peter keluar parti, Mohd Shafie berkata ia bukan suatu perkara yang mengejutkan kerana menurutnya Peter telah menyatakan hasratnya sebelum ini, bagaimanapun Ahli Parlimen Semporna menegaskan dakwaan Peter bahawa Warisan tersasar daripada perjuangannya adalah tidak benar.

- Bernama