Pakai seksi di Kota Baru, denda RM500
Awas! Wanita Islam dan bukan Islam yang gemar berpakaian seksi, anda akan didenda sehingga RM500 jika memakainya di dalam kawasan Majlis Perbandaran Kota Baru (MPKB).
Awas! Wanita Islam dan bukan Islam yang gemar berpakaian seksi, anda akan didenda sehingga RM500 jika memakainya di dalam kawasan Majlis Perbandaran Kota Baru (MPKB).
Menurut pegawai perhubungan awam MPKB, Mohd Azman Daham, pihak berkuasa tempatan itu akan bertindak tegas terhadap pekerja wanita yang memakai pakaian yang disifatkan oleh majlis itu sebagai kurang sopan di premis perniagaan di bandar itu.
Pakaian yang diiktiraf sebagai tidak sopan oleh MPKB termasuk blaus atau seluar yang ketat dan pakaian skirt singkat.
Mengikut undang-undang kecil majlis itu, mereka yang berpakaian tidak sopan atau seksi boleh didenda sehingga RM500.
Menurut Azman, pihaknya telah menerima banyak aduan daripada orang ramai mengenai pekerja wanita yang berpakaian demikian bekerja di premis perniagaan dan restoran sebagai strategi menarik pelanggan.
"Perlu diingatkan bahawa bukan sahaja pekerja yang berpakaian seksi boleh didenda, malah tuan punya premis juga boleh dikenakan tindakan mengikut peraturan kami," katanya.
Mohd Azman berkata pakaian yang menjolok mata tidak dibenarkan di kawasan tadbiran MPKB kerana ia boleh mencemar nama baik Kota Baru sebagai sebuah bandaraya berstatus Islam.
Menurut laporan mSTAR Online, antara aduan yang diterima termasuk wanita memakai baju T yang mendedahkan pangkal dada, wanita memakai blaus atau baju T singkat yang menampakkan pusat dan mereka yang memakai seluar jeans yang mendedahkan bahagian atas punggung.
MPKB, katanya, akan meningkatkan penguatkuasaan bagi kesalahan ini di semua kawasan di bawah pentadbirannya.
Bagi mengelak salah faham, katanya, kod berpakaian yang diterima bagi wanita Islam di kawasan MPKB adalah berpakaian labuh menutup aurat dan bertudung, sementara bagi bukan Islam pula, pakaian mestilah menunjukkan kesopanan.
Blaus dan seluar ketat, katanya, tidak termasuk dalam kod pakaian yang boleh diterima, walaupun untuk wanita bukan Islam.
Sebelum ini, katanya, walaupun undang-undang kecil itu memang telah wujud, ia tidak dikuatkuasakan sepenuhnya.
Fokus, katanya, akan diberikan di beberapa kawasan tertentu termasuk di Taman Hijau, Taman Uda dan Taman Tengku Anis, serta beberapa kompleks membeli belah.

