Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mendengar permohonan balu pemandu van A. Rayappan, 71, yang mayatnya kini menjadi rebutan antara keluarganya dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), pada 11 Disember ini.

Hari ini, balunyu Lourdes Maria Soosay, 69, telah memfailkan permohonan itu di mahkamah hari ini bagi mendapatkan perisytiharan bahawa lelaki itu meninggal dunia sebagai penganut Kristian.

Sementara itu, peguam A. Sivanesan, yang mewakili Lourdes Mary berkata beliau menerima sepucuk surat daripada MAIS yang meminta anak guamnya menghadiri prosiding di Mahkamah Syariah tengah hari ini.

Bagaimanapun, katanya wanita itu enggan berbuat demikian dengan alasan mahkamah itu tidak mempunyai bidangkuasa terhadapnya.

Dalam permohonannnya di Mahkamah Tinggi hari ini, Mary memohon perintah meminta supaya Hospital Kuala Lumpur (HKL) menyerahkan mayat Rayappan dengan segera kepadanya untuk dikebumikan mengikut cara Kristian dan mengeluarkan perintah sementara bagi menghalang Pengarah HKL daripada terus menyimpan mayat suaminya.

Menurut laporan Bernama, wanita itu menamakan Pengarah HKL dan kerajaan Malaysia sebagai defendan. Kes berkenaan akan didengar pada 11 Disember ini di hadapan Hakim Datuk Kang Hwee Gee.

Jumaat lalu, Mahkamah Syariah Shah Alam mengeluarkan perintah agar mayat Rayappan diserahkan kepada MAIS untuk dikebumikan secara Islam, tetapi keluarganya menghalang pegawai pihak berkuasa agama itu daripada mengambil mayat berkenaan kerana mendakwa Rayappan telah keluar daripada Islam.

Tuntut gantirugi

Dalam permohonan dan afidavitnya yang difailkan di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Wisma Denmark di sini, Lourdes Mary juga menuntut ganti rugi, ganti rugi khas dan kos serta pampasan lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Dalam afidavitnya, wanita itu mendakwa HKL tidak boleh menghalangnya daripada menuntut mayat Rayappan kerana dia adalah isteri yang sah kepada lelaki itu dan oleh itu berhak menuntut mayatnya.

Mary, yang berkahwin dengan Rayappan pada 1959 dan mempunyai enam anak, berkata suaminya adalah penganut Kristian dan mengamalkan ajaran agama itu sebelum meninggal dunia pada 29 November.

Rayappan meninggal dunia di HKL kerana penyakit kencing manis. Keluarganya mencabar Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi mendapatkan hak menuntut mayatnya kerana mendakwa Rayappan telah kembali menganut Kristian tujuh tahun lalu.

Peguam A. Sivanesan, yang mewakili Lourdes Mary, berkata beliau menerima sepucuk surat daripada MAIS yang meminta anak guamnya menghadiri prosiding di Mahkamah Syariah tengah hari ini, tetapi wanita itu enggan berbuat demikian dengan alasan mahkamah itu tidak mempunyai bidangkuasa terhadapnya.

Selain Lourdes Mary, turut hadir di pejabat pendaftar mahkamah berkenaan ialah kira-kira 20 anggota keluarganya, termasuk anak dan cucu Rayappan, Ahli Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai.

Guan Eng berkata, Lourdes Mary patut diberi hak agar kesnya didengar di mahkamah terbuka di mana dia mempunyai locus standi kerana ia melibatkan hak asasi dan perundangan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kit Siang pula berkata Perdana Menteri dan kabinet perlu memberi perhatian serius terhadap perkara itu.