Dalai Lama akan bercakap dalam program Abim
Angkatan Belia Islam Malysia (Abim) bersama Tibetan Buddhist Culture Centre (TBCC), Universiti Malaya (UM) akan bekerjasama kali kedua bagi menganjurkan dialog antara agama yang akan menampilkan Dalai Lama ke-14 Tenzin Gyatso.
Kedua-dua pertubuhan itu akan menganjurkan dialog antarabangsa Islam & Buddhism Eco Dialogue (IBED 2022) pada 15 dan 16 Jan ini yang akan memfokuskan isu perubahan iklim.
Presiden Abim, Muhammad Faisal Abdul Aziz dalam kenyataan berkata, pertubuhan itu memandang berat isu darurat iklim yang melanda dunia hari ini.

"Abim menegaskan bencana-bencana besar yang berlaku termasuk yang sedang dihadapi rakyat negara ini adalah impak daripada perubahan iklim yang berlaku di seluruh dunia.
"Kita harus sedar bahawa fenomena yang mencetuskan kegawatan iklim ini adalah kesan daripada kerakusan kita mengorbankan keseimbangan alam sekitar secara semberono.
"Antara natijah nyata daripada perubahan iklim dunia ini ialah taburan hujan turun di luar jangka, serta pemanasan global yang memberikan kesan kepada kehidupan kita," katanya.
Selain Dalai Lama, turut diundang untuk memberikan ucapan ialah Prof Emeritus Dr Osman Bakar, Dr Reza Shah Kazemi, Ven Prof Dr K.L Dhammajoti, Ven Dr Bhikkhuni Dhammananda, serta Prof Dr Azizan Baharudin.
Untuk pendaftaran dan makluman terperinci boleh ke pautan www.ibedconf.com.

