Bakal pengantin belum diwajib jalani pemeriksaan darah
Kementerian Kesihatan belum bercadang untuk mewajibkan bakal pengantin supaya menjalani pemeriksaan darah mandatori.
Kementerian Kesihatan belum bercadang untuk mewajibkan bakal pengantin supaya menjalani pemeriksaan darah mandatori.
Bagaimanapun, kata Timbalan Menterinya, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, mereka yang berisiko tinggi digalakkan menjalani pemeriksaan darah terlebih dahulu melalui program ujian saringan.
Katanya, pemeriksaan ini bertujuan mengesan penyakit di peringkat awal bagi membolehkan rawatan awal diberikan, di samping tindakan sewajarnya bagi memastikan penyakit yang dihidapi tidak menjangkiti atau memudaratkan orang lain.
"Orang ramai termasuk mereka yang bakal berkahwin digalakkan menjalani ujian saringan HIV melalui program ujian saringan HV secara sukarela di klinik-klinik kesihatan kerajaan," katanya menjawab soalan Abdul Halim Abdul Rahman (PAS-Pengkalan Chepa) di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Menurut laporan Bernama, pada masa ini, beberapa negeri seperti Johor dan Perak, menggalakkan pasangan beragama Islam yang bakal berkahwin menjalani ujian saringan HIV kelolaan Jabatan Agama Islam Negeri dengan kerjasama kementerian itu.
Kesan sampingan ubat
Sementara itu, Abd Latiff berkata sehingga Ogos lalu, sebanyak 1,790 kes kesan sampingan ubat dilaporkan berbanding 2,363 kes tahun lalu.
Menurutnya, sebuah Jawatankuasa Penasihat Kesan Advers Ubat Kebangsaan (MADRAC) ditubuhkan untuk memantau kesan sampingan ubat yang dikaitkan dengan penggunaan ubat-ubatan di Malaysia.
"Tumpuan khas diberikan terhadap kesan sampingan yang menyebabkan kematian, mengancam nyawa, memerlukan seseorang pesakit dimasukkan ke hospital atau rawatan yang panjang dan kesan yang menyebabkan kecacatan bayi," katanya menjawab soalan Datuk Dr Rahman Ismail (BN-Gombak).
Beliau berkata, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah seterusnya akan mengkaji semula status pendaftaran ubat berkenaan, dengan kemungkinan menggantung, membatal atau mencadangkan supaya perlabelan profil keselamatan ubat dipinda.

