Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tarif elektrik: 'Dulu Umno, kini PAS pula guna alasan tak bebankan rakyat'
Diterbitkan:  Jan 13, 2022 11:53 AM
Dikemaskini: 4:13 AM

Adun Permatang Pasir Faiz Fadzil menyifatkan alasan yang diberikan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Takiyuddin Hassan bahawa tarif baru elektrik tidak akan membebankan rakyat sebagai alasan 'klise'.

Katanya, alasan sama pernah digunakan menteri Umno sejak dahulu dan kini diwarisi oleh menteri daripada PAS pula.

“Nampaknya, alasan tidak membebankan rakyat ini adalah alasan klise yang digunakan menteri Umno dulu yang kini diwarisi PAS pula.

“Jelas, janji PAS bahawa isu kos sara hidup boleh selesai bila PAS menjadi kerajaan jauh meleset,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pemimpin Amanah itu berkata tarif baru elektrik kini menjadi kegelisahan rakyat kerana jika terdapat kenaikan, ia memberi kesan domino dalam kenaikan harga barangan.

Pada 9 Januari lalu, Takiyuddin memberi jaminan bahawa tarif baru elektrik yang akan diumumkan dalam masa terdekat bagi tahun ini sehingga 2024 tidak akan membebankan rakyat.

Malah katanya, ia akan memberi manfaat khususnya kepada hampir 85 peratus daripada lapan juta pemilik akaun domestik di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Faiz menggesa supaya kerajaan membatalkan hasrat untuk menaikkan tarif elektrik, memandangkan kesan daripada pandemik Covid-19 di kalangan rakyat masih belum pulih.

Katanya, sebaliknya tumpuan kerajaan haruslah ke arah mencari mekanisme tuntas mengatasi masalah kos sara hidup.

“Yang perlu dibanyakkan adalah poket rakyat dan bukannya kantung TNB (Tenaga Nasional Berhad),” katanya sambil memetik keuntungan bersih TNB pada tahun sebelum ini.

TNB mencatat keuntungan bersih yang meningkat 25.7 peratus kepada RM821.5 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2021 berbanding RM653.3 juta pada tahun sebelumnya.

Hasil bagi suku kedua itu turut meningkat 14.2 peratus kepada RM12.44 bilion berikutan peningkatan penggunaan tenaga elektrik melibatkan pelanggan komersial dan industri.

“Jumlah ini mencukupi bagi TNB menampung apa-apa kenaikan kos demi membantu meringankan beban rakyat,” kata Faiz. 

Lihat Komen
ADS