Pensyarah UKM: Monopoli lahirkan media alternatif
Monopoli dalam industri media boleh menyemai lebih banyak media alternatif, kata Pengerusi Pusat Pengajian Media & Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM, Dr Faridah Ibrahim.
Monopoli dalam industri media boleh menyemai lebih banyak media alternatif, kata Pengerusi Pusat Pengajian Media & Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM, Dr Faridah Ibrahim.
"Kita berkembang dengan kepelbagaian, justeru menjadi kreatif dan lebih baik dalam persekitaran yang kompetitif. Kita bangga dengan kepelbagaian dan keunikan kita, mengapa tidak untuk media kita juga?
"Lebih banyak pilihan yang kita ada, lebih pelbagai pendapat yang kita dapat dan masyarakat kita akan mendapat lebih banyak pengetahuan. Ini yang patut kita tekankan," katanya dalam laporan Bernama.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa media alternatif lebih sukar dikawal dan selalunya, tidak begitu menekankan tanggungjawab sosial.
Mengenai cadangan penggabungan antara Kumpulan Utusan Melayu dan New Straits Times Press (NSTP), Dr Faridah berpendapat ia boleh mengukuhkan kedudukan kewangan kedua-dua syarikat serta menambah inovasi hasil dari penggabungan sinergi.
"Ia akan memperkasakan syarikat serta membentuk konglomerat gergasi untuk bersaing di peringkat antarabangsa. Dengan tunjang kewangan yang kukuh, konglomerat media boleh menembusi pasaran global seiring syarikat seperti ABC dan CNN," katanya.
Trend global
Jelas beliau penggabungan syarikat media juga adalah trend global masa kini contohnya penggabungan syarikat seperti Time-Warner.
Bagaimanapun, katanya, dengan penggabungan dan monopoli tersebut, maka akan ada sekatan dari segi kepelbagaian kandungan kerana kedua-duanya bernaung di bawah satu payung.
Ini bermakna kesemuanya terpaksa menuruti dasar dan garispanduan yang ditetapkan oleh pihak yang berkuasa.
Dalam kes penggabungan Utusan-NSTP, Faridah berkata, kedua-dua syarikat pastinya akan menyerap pandangan editorial yang serupa.
Sementara itu, Pengarah, Pusat Perangsaraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Profesor Madya Mohd Rajib Ghani berkata konglomerat dan monopoli media tidak selalunya bagus.
"Ini adalah kerana empunya syarikat boleh mengawal kandungan serta kebebasan media memandangkan sistem pengawalan itu lebih mudah. Ia juga bererti media tidak lagi sihat dan tidak menjadi akhbar lagi tetapi medium propaganda atau lidah organisasi," jelas beliau.
Lidah kerajaan?
"Persoalan utamanya ialah siapa yang pegang? Adakah oleh golongan peniaga atau pemerintah? Semuanya bergantung kepada tujuan. Kita tidak tahu tujuan di sebalik penggabungan ini. Kita perlukan gambaran lebih jelas dan prosesnya juga perlu dilakukan dengan telus kerana bila ia dilakukan dengan diam-diam, itu autokratik," tambah Mohd Rajib.
Katanya tidak ada masalah sekiranya media dimiliki pemerintah, tetapi jangan sampai media menjadi lidah kerajaan untuk propaganda semata-mata.
Media juga memainkan peranan sebagai medium transisi sebelum sesebuah dasar atau undang-undang dilaksanakan pemerintah kerana itu pemilikan dalam syarikat media dianggap strategik, jelas beliau lagi.
Adakah ini bermaksud media yang dimiliki golongan usahawan itu lebih baik? Mohd Rajib kurang bersetuju, lantas memetik contoh senario media Barat hari ini.
Katanya, media Barat terlalu dikuasai oleh golongan usahawan sehinggakan pemerintah sendiri pun kadangkala harus akur dengan kehendak mereka.
"Lihat apa yang terjadi dengan industri media di negara Barat, kebanyakan mereka ini adalah suara-suara kapitalis," katanya.

