Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRN Johor : PAS tunggu dan lihat, kata Hadi
Diterbitkan:  Jan 14, 2022 2:16 PM
Dikemaskini: 6:18 AM

PAS mengambil pendekatan tunggu dan lihat berhubung desas-desus pilihan raya negeri (PRN) Johor bakal diadakan dalam tempoh terdekat ini, kata Presidennya, Abdul Hadi Awang

"Tunggu dia bubar (DUN) dulu. (Baru) keputusan akan diambil," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila, Marang, hari ini.

Abdul Hadi berkata demikian ketika diminta mengulas khabar angin bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor akan dibubarkan esok serta kesediaan PAS menentang Umno dalam pilihan raya negeri berkenaan.

Pada 25 Dis lalu, kerajaan Johor yang diketuai Umno - dan disokong Perikatan Nasional - memaklumkan akan memantau keadaan semasa termasuk keperluan untuk mengadakan PRN berikutan hanya mempunyai kelebihan satu kerusi di DUN.

Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad, berkata dia akan bertemu dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk memaklumkan tentang kedudukan kerajaan negeri yang ketika ini mempunyai majoriti yang amat tipis dan dikhuatiri bertambah tidak stabil.

Khabar mengenai pembubaran DUN dan PRN Johor itu bertambah kuat sejak kebelakangan ini apabila parti politik, termasuk Pakatan Harapan (PH) Johor mengakui ada membincangkan perkara itu dalam mesyuarat mereka, baru-baru ini.

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dzulkefly Ahmad berkata pihaknya mendapat maklumat DUN Johor mungkin akan dibubarkan seawal 15 Januari ini.

Pembangkang bagaimanapun konsisten berpendapat PRN tidak sesuai diadakan sekarang.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata sekiranya PRN tetap diadakan PAS sudah pasti akan mencalonkan calon-calon mereka seperti mana pilihan raya sebelum- sebelum ini.

"PAS akan bertanding. (PRN) Sarawak pun kita bertanding. Johor ni dekat lagi. PAS akan bertanding. Macam mana cara bertanding kita akan lihat dari masa ke semasa," katanya.

Disoal sejauh mana PAS sudah memulakan perbincangan berhubung situasi politik terkini di Johor, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata pihaknya tidak mengadakan apa-apa perbincangan kerana perkara itu hanya sekadar khabar angin.

"Sehingga ini kita tak bincangkan kerana benda belum berlaku. Hanya khabar angin," katanya ringkas. 

Lihat Komen
ADS