story images
story images
mk-logo
Berita
Bot, heli dah lama: KDN kaji dapatkan aset baru untuk polis
Diterbitkan:  Jan 14, 2022 9:50 AM
Dikemaskini: 9:50 AM

Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengkaji keperluan mendapatkan aset baru untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), khusus bagi membantu pasukan itu semasa ia berdepan dengan situasi banjir atau bencana lain pada masa depan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata cadangan itu dikemukakan susulan aset sedia ada termasuk helikopter dan bot, didapati telah usang dan tidak mencukupi selain ketinggalan daripada segi teknologi.

“Banyak aset kita apabila kita nak bantu, baru kita sedar aset kita misalnya bot yang kita guna selama ni sudah lama, kita nak cari bot yang lebih sesuai (digunakan) untuk bencana banjir pada masa akan datang.

“Aset lama seperti helikopter, kita rasa bahaya bila ada ribut petir dan hujan lebat kerana ia tidak mempunyai instrumen yang boleh disesuaikan dalam keadaan banjir atau bencana lain,” katanya pada sidang media selepas melawat Markas Taktikal Op Banjir PDRM di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Segamat, di Segamat hari ini.

Beliau berkata situasi banjir kali ini memberi peluang kepada kementeriannya menilai semula keperluan untuk membeli aset baru supaya kerja-kerja memberi bantuan termasuk menyelamat berjalan dengan lancar.

Gambar hiasan.

Mengulas mengenai Galeri Darurat Bukit Kepong di Muar yang terjejas banjir baru-baru ini, Hamzah berkata KDN telah menyerahkan bantuan RM250,000 kepada PDRM untuk melaksanakan kerja-kerja membaik pulih galeri berkenaan.

“Ketika melawat galeri itu saya lihat ia amat teruk (terjejas banjir) walaupun ketika awal pembinaannya kita telah mengambil kira kemungkinan perkara-perkara seperti bencana yang berlaku pada 2011.

“Walaupun kita dapat selamatkan artifak dan perkara-perkara lain yang perlu kita simpan, tapi bencana kali ini agak teruk dan atas sifat keprihatinan, saya telah bersetuju untuk berikan bantuan sebanyak RM250,000 untuk baik pulih galeri itu,” katanya.

Galeri Darurat Bukit Kepong yang terletak bersebelahan Sungai Muar, baru-baru ini ditenggelami air sehingga paras kira-kira 2.5 meter, bencana paling teruk dilalui sejak tahun 2011.

Galeri yang menyimpan pelbagai khazanah bersejarah berkaitan peristiwa darurat keganasan komunis yang menyerang hendap Balai Polis Bukit Kepong, tempoh darurat dari 1948 hingga 1960 serta era Insurgensi Komunis Kedua pada tahun 1968 hingga 1989 itu dirasmikan pada 23 Feb 2017.

Terdahulu, Hamzah melawat Galeri Darurat Bukit Kepong di Muar sebelum ke kawasan terjejas banjir di Segamat antaranya Batu Anam, Buloh Kasap dan Pogoh.

- Bernama

Lihat Komen
ADS