Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Yayasan KRU, PTPTN jalin kerjasama lahirkan usahawan digital
Diterbitkan:  Jan 15, 2022 9:31 AM
Dikemaskini: 1:31 AM

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjalin kerjasama bersama Yayasan KRU menerusi program Kita Jaga Kita dengan menyediakan latihan Social E-Commerce bagi memperkasakan ilmu keusahawanan digital untuk golongan belia dari keluarga B40.

Menurut Presiden Lembaga Pemegang Amanah Yayasan KRU, Norman Abdul Halim, program Kita Jaga Kita dilancarkan pada 1 Jun tahun lalu dengan matlamat untuk melahirkan 100 usahawan dalam kalangan mahasiswa B40 di sepanjang tahun 2022.

“Pihak Yayasan berterima kasih kepada PTPTN kerana membantu kumpulan pertama seramai 20 orang belia warga Malaysia menyertai program ini sekaligus melayakkan mereka mendapatkan pensijilan professional bertaraf antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Penyampaian sijil kepada pelatih terlibat disempurnakan oleh Norman semalam dan turut dihadiri oleh Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Ahmad Dasuki berkata, kerjasama strategik yang dilaksanakan bersama Yayasan KRU diharapkan dapat membantu para belia peminjam PTPTN dari keluarga B40 untuk menceburi bidang keusahawanan dalam meningkatkan ekonomi keluarga.

“Sebagai agensi yang cakna dan prihatin, kami sentiasa menyantuni dan menyelami isu-isu masyarakat bagi membantu mereka yang memerlukan terutama di kala pandemik Covid-19 ini.

“Semoga dengan inisiatif ini dapat meningkatkan imej positif PTPTN dalam masyarakat dan merapatkan hubungan dengan golongan belia terutama peminjam PTPTN.

“Program itu diharapkan agar dapat memberi impak kepada pelatih dalam mengembangkan perniagaan yang sedang atau akan diusahakan dari segi penghasilan karya kreatif, penguasaan kemahiran teknikal, penjenamaan produk dan penjenamaan peribadi usahawan itu sendiri,” katanya.

Sijil tamat latihan dan akreditasi dari badan profesional Adobe Certified Professional - Premiere Pro telah disampaikan kepada 20 pelatih yang menyertai program itu.

Latihan telah dijalankan selama sebulan secara hibrid dan merangkumi modul berkaitan keusahawanan digital dan penerbitan kandungan kreatif. 

Lihat Komen
ADS