Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PH ulang gesaan agar Azam bercuti
Diterbitkan:  Jan 15, 2022 9:53 AM
Dikemaskini: 9:53 AM

Pakatan Harapan (PH) sekali lagi mendesak Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki untuk bercuti sehingga siasatan skandal pemilikan sahamnya selesai.

Dalam satu kenyataan hari ini, pakatan pembangkang memetik pandangan Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah SPRM Rais Yatim bahawa Azam perlu bercuti.

"Majlis Setiausaha berpandangan Azam kini tiada pilihan lagi kecuali untuk bercuti sehingga selesai kesemua siasatan terhadap beliau.

"Sekiranya beliau enggan, kami menggesa perdana menteri agar mendengar pandangan kesemua pihak yang telah menyuarakan pandangan tentang isu ini, termasuk dari kalangan pemimpin kerajaan, dan mengambil tindakan tegas merehatkan Azam," katanya.

Semalam, Rais berkata terpulang kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam untuk memutuskan sama ada akan mengarahkan Azam bercuti atau sebaliknya.

Kenyataan PH itu ditandatangani bersama oleh Setiausaha Agung Amanah (Hatta Ramli), DAP (Anthony Loke), PKR (Saifuddin Nasution) dan Upko (Nelson Anggang).

Mengulas lanjut, mereka mengkritik Azam kerana melibatkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam pembelaannya.

"Perbuatan Azam amat tidak bertanggungjawab kerana cuba mengheret institusi YDP Agong ke dalam masalah dan kemungkinan kesalahan yang dilakukannya.

"Azam patut tahu lantikan oleh Tuanku tidak memberikan sebarang kekebalan undang-undang daripada kesalahan yang dilakukan," kata mereka.

Akta SPRM 2009 menetapkan ketua pesuruhjaya SPRM dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri.

Azam telah terlibat dalam kontroversi berhubung pemilikan berjuta-juta saham dalam dua syarikat senaraian awam - Excel Force MSC Berhad dan Gets Global Berhad - pada 2015 dan 2016.

Azam merupakan ketua siasatan SPRM ketika itu.

Pada 5 Jan, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM Abu Zahar Ujang mengadakan sidang akhbar untuk mempertahankan Azam, menjelaskan bahawa saham itu dibeli oleh adik Azam, Nasir Baki menggunakan akaun dagangan abangnya.

Azam menegaskan bahawa dia telah memindahkan saham itu kepada Nasir dan dengan itu tidak melakukan "apa-apa kesalahan".

Bagaimanapun, ia mengundang kepada lebih banyak kritikan, selain persoalan sama ada Azam telah melanggar peraturan perdagangan saham.

Perkara itu telah menarik perhatian Suruhanjaya Sekuriti dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Sementara itu, Azam menyaman pemberi maklumat Lalitha Kunaratnam atas tuduhan memfitnah selepas dia menulis tentang skandal pemilikan sahamnya.

Lihat Komen