Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin perlu jelaskan dakwaan 'campur tangan kehakiman' - Anwar
Diterbitkan:  Jan 15, 2022 6:17 PM
Dikemaskini: 10:17 AM

Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin mesti menjelaskan dakwaannya berhubung cubaan campur tangan kehakiman berikutan sanggahan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat semalam, kata Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Ini kerana kenyataan Muhyiddin di televisyen tahun lepas menimbulkan keraguan umum sama ada eksekutif boleh campur tangan dalam hal kehakiman, walaupun terdapat hakim yang tegas mematuhi kedaulatan undang-undang.

"Kita juga menunggu dan menuntut penjelasan lanjut dari Muhyiddin Yassin tatkala beliau sendiri yang mendedahkan bahawa wujudnya cubaan untuk mengubungi beliau agar mencampuri urusan mahkamah dalam kes-kes berprofil tinggi.

"Ini kerana timbulnya kemusykilan dan kecurigaan umum apakah pihak eksekutif mencampuri urusan kehakiman meski kita akui adanya hakim-hakim yang tegas dan patuh tunduk pada hukum," katanya.

Anwar juga menggesa peguam negara juga memberi respons yang tegas.

Pada 4 Ogos tahun lalu, di tengah-tengah pemberontakan dalam gabungan politik yang diterajuinya, Muhyiddin mendakwa semasa berucap di televisyen bahawa pengkritiknya "tidak selesa" dengannya selepas dia enggan bersetuju dengan tuntutan mereka untuk campur tangan dalam kes mahkamah dan membebaskan beberapa orang yang menghadapi pertuduhan jenayah.

Tengku Maimun bagaimanapun berkata tiada siapa yang mendekatinya atau mana-mana hakim lain untuk campur tangan sedemikian.

“Kami mendengarnya dari televisyen, bekas PM (Muhyiddin) mendakwa beliau didekati, tetapi tiada seorang pun daripada kami di sini didekati.

“Orang ramai tahu bahawa hakim membuat keputusan berdasarkan bukti, kita tidak boleh lari daripada prinsip teras itu.

"Apa yang boleh saya katakan ialah tiada siapa yang menghubungi saya, mahupun orang lain di sini, untuk mendapatkan bantuan (dalam kes mahkamah)," katanya kepada pemberita.

Lihat Komen
ADS