Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Adun Pasir Bedamar lapor polis, nafi ambil dadah
Diterbitkan:  Jan 15, 2022 8:32 PM
Dikemaskini: 12:59 PM

Susulan penahanannya dan kemudian dibebaskan, Adun Pasir Bedamar Terence Naidu telah tampil menafikan mengambil sebarang bahan terlarang.

Dia kemudiannya membuat laporan polis meminta siasatan dijalankan tentang bagaimana ujian air kencingnya didapati positif dadah.

Ahli parlimen DAP itu memberikan penjelasannya dalam satu kenyataan panjang hari ini.

"Saya diundang bertemu kawan-kawan (yang juga sebenarnya klien) untuk perjumpaan dan makan Tahun Baru Cina Di Pulau Pinang.

"Apabila tiba di Perai, saya dibawa ke lokasi di mana saya akan kemudiannya ditahan. Saya teragak-agak untuk masuk ke premis terbabit, namun akhirnya masuk.

"Saya tidak mengambil sebarang bentuk bahan terlarang. Saya terkejut ketika dimaklumkan bahawa ujian air kencing saya positif, kerana saya ini merokok pun tidak.

"Saya dihidangkan minuman yang ‘aneh’. Saya tidak meminumnya selepas merasa sedikit. Saya kemudiannya dimaklumkan keesokan harinya bahawa ketika saya ke tandas, seseorang telah datang ke meja dan mengisi gelas minuman saya," katanya.

Terence ditahan pada 13 Jan selepas polis menyerbu sebuah kelab malam di Perai, Bukit Mertajam.

Polis kemudian menahannya selepas air kencingnya didapati positif dadah yang tidak dinyatakan. Dia dibebaskan semalam.

'Terdedah kepada anasir yang mencurigakan'

Terence berkata dia membuat laporan polis selepas dibebaskan daripada tahanan polis.

"Ekoran insiden ini, pada 14 Januari 2022 sebaik sahaja dibebaskan, saya telah membuat laporan polis menyatakan bahawa saya terdedah kepada anasir yang mencurigakan dan telah menamakan saksi terhadap kejadian terbabit.

"Saksi tersebut telah pun memberi kenyataan kepada polis dan mengesahkan apa yang telah dia lihat.

"Berikutan dengan ini saya telah memohon pihak polis untuk menyiasat perkara tersebut dan orang ramai boleh menilai kenyataan beramaran saya kepada pihak polis dan membuat kesimpulan mereka sendiri," katanya.

 

'Sedia digantung keanggotaan parti'

Awal hari ini, Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming menggesa Terence menjelaskan dirinya kepada parti itu.

Sebagai tindak balas, Adun dua penggal itu berkata dia telah berbuat demikian dan sanggup digantung tugas berhubung insiden itu.

"Saya akan terus menjalankan tanggungjawab terhadap pengundi saya serta tetap berpendirian bahawa dadah adalah permasalahan sosial dan akan terus berjuang menentangnya.

"Saya berterima kasih kepada kepimpinan parti atas sokongan dan kepercayaan mereka kepada saya. Berkenaan dengan pendirian DAP Perak menuntut saya memberi penjelasan dan saya patuhi.

"Sebagai Adun yang bertanggungjawab dan dilantik di bawah bendera parti, saya juga bersedia untuk melindunginya daripada sebarang masalah dan bersedia untuk digantung keahlian, supaya pihak parti tidak terheret sama dalam kes ini.

"Buat para penyokong yang mengenali saya secara peribadi, terutamanya penduduk Pasir Bedamar, saya dengan rendah hati memohon maaf kerana meletakkan diri dalam posisi yang berbahaya," katanya.

Lihat Komen
ADS