Dua Adun Sabah, bekas senator umum keluar DAP
Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan seorang bekas senator mengumumkan keputusan keluar DAP malam tadi dengan alasan hilang kepercayaan pada pucuk kepimpinan parti itu.
Dalam satu kenyataan bersama, Adun Sri Tanjong, Justin Wong, Adun Elopura, Calvin Chong dan bekas senator Adrian Lasimbang berkata mereka hilang kepercayaan pada kepimpinan DAP, khususnya membabitkan pengerusi negeri, Frankie Poon.
"Kehilangan hala tuju, perpecahan dalaman yang serius, dan tahap komunikasi antara pemimpin yang hampir terputus menyebabkan kita percaya bahawa parti itu bukan lagi parti perjuangan.
“Justeru, dengan berat hati kami mengumumkan meninggalkan DAP berkuat kuasa serta-merta,” kata mereka.
Katanya, kegagalan DAP Sabah melaksanakan perjuangan membela nasib rakyat di negeri itu juga menjadi punca mereka meninggalkan DAP.
“Kami memulakan kerjaya politik demi berjuang untuk Sabah, termasuk menyediakan autonomi yang lebih besar, infrastruktur lebih baik, malah paling penting lagi, masyarakat inklusif yang mengatasi bangsa dan agama.
“Malangnya kami tidak mencapainya menerusi DAP Sabah,” kata mereka menerusi kenyataan itu.
Peletakan jawatan mereka dibuat selepas kejayaan pindaan Artikel 1(2) Perlembagaan Persekutuan bagi mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia baru-baru ini.
Langkah itu menjadikan Adun DAP Sabah kini tinggal empat iaitu: Poon (Tanjong Papat), Phoong Jin Zhe (Luyang), Jannie Lasimbang (Kapayan) dan Tan Lee Fatt (Likas).
Sementara itu, Adrian dalam satu hantaran di media sosialnya menyifatkan politik umpama permainan bola sepak.
“Menyertai politik adalah seperti menyertai pasukan bola sepak.
“Kita mesti ada kapten dan pengurus yang baik selain mempunyai pemain yang bagus, tetapi apabila kapten mula 'siok sendiri' atau (jika) pasukan terus mengambil (memasukkan) pemain yang malas, anda akhirnya tidak menikmati permainan.
"Lebih baik (untuk) menyertai pasukan lain atau bermain dalam permainan lain," tulisnya Twitter.

