'Tindakan keluar DAP untuk elak kesan undang-undang antilompat parti'
Pengerusi DAP Sabah Frankie Poon menafikan tuduhan bahawa kepimpinannya adalah punca dua Adun dan seorang bekas senator meninggalkan parti itu semalam.
Sebaliknya, Poon mendakwa Justin Wong (Adun Sri Tanjong), Calvin Chong (Adun Elopura) dan Adrian Lasimbang keluar dari DAP bagi mengelak dikenakan tindakan mengikut undang-undang antilompat parti yang akan diperkenalkan selepas ini.
“Perletakan jawatan wakil rakyat terbabit semata-mata helah mereka sebelum rang undang-undang antilompat parti dibentangkan dan diluluskan parlimen pada Feb dan Mac ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
"Mungkin mereka ada rancangan sendiri. Mungkin undang-undang antilompat yang dicadangkan hanya mempercepatkan rancangan itu,” tambahnya.
Ketiga-tiga mereka mengumumkan peletakan jawatan daripada DAP semalam dengan alasan sudah hilang keyakinan terhadap keupayaan Poon memimpin DAP Sabah.
Mereka juga mendakwa wujudan "perpecahan dalaman yang serius" dan masalah komunikasi menjadi sebab lain mereka bertindak sedemikian.
Walaupun tidak menyatakan sama ada akan menyertai parti lain atau tidak, ketiga-tiga mereka berkata, tindakan tersebut adalah permulaan untuk kerjaya politik yang menjamin lebih autonomi serta "inklusif" untuk Sabah.
Lasimbang seterusnya membayangkan adalah lebih baik untuk dia "menyertai pasukan lain" atau bertindak dengan "permainan lain" jika mereka dibelenggu oleh ketua pasukan yang mementingkan diri sendiri.
Poon turut menyangkal dakwaan yang mengaitkan DAP Sabah dengan perpecahan dalaman dan isu komunikasi.
Sebaliknya, dia berkata, Wong yang sering tidak hadir dan terlepas mesyuarat parti.
Poon seterusnya mendakwa Chong pula salah sendiri apabila gagal dipilih menganggotai Jawatankuasa DAP Sabah walaupun sudah mencuba beberapa kali.
Untuk rekod Lasimbang dan Chong kalah dalam pemilihan DAP Sabah yang diadakan pada Nov 2021.
Wong bagaimanapun memperoleh undi terbanyak dan dipilih menganggotai jawatankuasa itu. Dia merupakan anak kepada Jimmy Wong, iaitu bekas pengerusi DAP Sabah yang meninggalkan parti itu pada tahun lalu sebagai protes terhadap pemilihan.
Sementara itu, Poon berpendapat Wong dan Chong patut meletakkan jawatan mereka sebagai wakil rakyat kerana meninggalkan parti yang membawa mereka terpilih memasuki Dewan Undangan Negeri Sabah.
“Mana-mana Adun yang meninggalkan parti untuk menjadi wakil rakyat bebas atau menyertai parti lain kemudiannya adalah melakukan kesalahan menyalahgunakan mandat rakyat.
“Jika mereka tidak berpuas hati, maka mereka harus meletakkan jawatan sebagai Adun yang dipilih. Itulah tindakan mulia untuk mereka dilakukan,” katanya.
Perkembangan itu menjadikan DAP kini mempunyai hanya empat Adun di Sabah iaitu Poon (Tanjong Papat), Phoong Jin Zhe (Luyang), Jannie Lasimbang (Kapayan) dan Tan Lee Fatt (Likas).

