Polis mengalihkan lalu lintas dari lokasi perhimpunan baru #TangkapAzamBaki yang diumumkan malam tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields Amihizam Abdul Shukor berkata ini perlu bagi menjaga ketenteraman awam dan mencegah penularan Covid-19.

"Saya ingin mengambil kesempatan untuk menasihati orang ramai yang mempunyai sebarang urusan di bandar raya Kuala Lumpur teutama di kawasan LRT Bangsar dan sekitarnya perlu merancang perjalanan dan urusan masing-masing terutamanya yang melibatkan laluan dan juga masa," katanya pada satu kenyataan.

Penganjur perhimpunan telah memilih stesen LRT Bangsar sebagai tempat perhimpunan baru mereka selepas polis mengisytiharkan pihaknya menutup stesen kereta api dan jalan menuju ke tempat perhimpunan asal di Sogo.

Menurut polis, perhimpunan itu tidak dapat dibenarkan kerana Kuala Lumpur masih di bawah Fasa 4 Pelan Pemulihan Nasional, yang melibatkan beberapa protokol Covid-19.

Penganjur perhimpunan mahu membantah tindak balas kerajaan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berhubung dakwaan dia melanggar peraturan perkhidmatan awam.

Azam setakat Mac 2016, memegang saham dalam Excel Force MSC Sdn Bhd. Pegangannya jauh melebihi had RM100,000 yang ditetapkan di bawah Seksyen 23 Pekeliling Perkhidmatan 3/2002.

SC sebelum ini menjalankan siasatan berhubung akaun dagangan saham milik ketua tertinggi suruhanjaya anti rasuah itu.

Agensi itu kemudian menyatakan mereka tidak dapat secara muktamad memutuskan Azam melanggar Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 (SCA), Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (Sicda).

SC juga mengesahkan Azam memiliki kawalan penuh ke atas akaun berkenaan dan tiada bukti jelas menunjukkan berlaku dagangan secara proksi.

Pengesahan SC itu sekali gus bercanggah dengan penjelasan Azam yang mendakwa saham yang dipertikaikan itu adalah milik adiknya, Nasir, yang diperolehi menggunakan akaun Azam.

Azam tidak menjawab dakwaan SC, manakala Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan SC itu perlu diterima semua pihak.