Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menegaskan keputusan sama ada pilihan raya negeri (PRN) Johor perlu diadakan atau tidak terserah kepada menteri besar Hasni Mohammad.

"Mengenai (PRN) Johor seperti yang kita putuskan dalam Majlis Tertinggi (MT) Umno kita serah kepada Umno negeri dari segi persediaan dan serahkan kepada menteri besar Johor untuk mengambil keputusan dan mesti mendapat perkenan daripada Sultan Johor.

"Jadi kita serahkan kepada Johor untuk menentukan sama ada pilihan raya atau tidak, tarikh dan sebagainya. Dan kalau pilihan raya cepat maka persediaan itu hanya Umno Johor yang tahu sejauh mana persediaan mereka, jika mereka rasa bersedia kita serahkan kepada mereka," katanya pada sidang media selepas pertemuan dengan pemimpin Umno Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Ismail yang juga naib presiden Umno berkata demikian ketika ditanya sejauh mana persediaan parti itu jika PRN Johor diadakan dalam masa terdekat.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Hasni dijangka menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar minggu depan bagi mendapatkan perkenan baginda untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sumber Umno Johor berkata DUN dijangka dibubarkan lewat minggu depan dengan pilihan raya negeri diadakan sama ada pada pertengahan atau akhir Februari.

Hasni Mohammad

Sementara itu Ismail Sabri berkata, Umno perlu bersedia untuk menghadapi pilihan raya di seluruh negara, bukan hanya di Johor.

"Saya sebutkan tadi bukan saja johor tapi seluruh negara Unno sentiasa perlu bersedia untuk menghadapi pilihan raya bila-bila saja. Sama ada lambat atau cepat, parti perlu bersedia.

"Usaha mendekati rakyat perlu dilakukan setiap masa dan yang pentingnya pengundi-pengundi muda yang baru didaftarkan perlu kita dekati terutama sayap pemuda dan puteri," ujarnya.

Dalam perkembangan berasingan Ismail Sabri menyerahkan sepenuhnya kepada Umno Kelantan berhubung isu kerjasama antara Umno dengan PAS di negeri itu yang akan dimuktamadkan dalam mesyuarat yang dijangka diadakan hari ini.

Dia berkata ini kerana di setiap negeri, hubungan antara dua parti itu dipengaruhi keperluan dan kehendak politik berbeza dan maka perlu diperhalusi dan diputuskan oleh kepimpinan peringkat negeri.

"Saya serahkan sepenuhnya kepada Umno Kelantan untuk membuat keputusan sebab seperti saya kata dalam ucapan, setiap negeri ada situasi politik berbeza, kehendak berbeza. Pahang mungkin berbeza dengan Kelantan, Selangor mungkin berbeza dengan Terengganu dan Kedah.

"Oleh kerana banyak keperluan berbeza saya serahkan negeri dan saya maklum pengerusi Umno Kelantan membuat penilaian dan membuat keputusan demi kepentingan Umno," katanya yang juga anggota Parlimen Bera.

Lihat Komen
ADS