Presiden MIC SA Vigneswaran berkata bahawa parti mereka telah mengenal pasti empat hingga lima kerusi yang boleh menang jika diberi peluang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Katanya, dia akan mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Perhubungan Umno Johor yang juga menteri besar Hasni Mohammad pukul 2 petang hari ini berhubung persiapan BN termasuk mengenai kerusi-kerusi yang boleh diberikan kepada MIC untuk ditandingi.

"Saya akan bertemu dengan menteri besar Johor pukul 2 petang ini.

"Selepas itu saya akan bertemu dengan kepimpinan BN, (pengerusi) Ahmad Zahid Hamidi untuk bincang seterusnya kerusi-kerusi mana yang sepatutnya ditanding oleh MIC," katanya kepada pemberita di Majlis Ulang Tahun Subhas Chandra Bose, di Wisma Tun Sambanthan, Kuala Lumpur.

Tambahnya, parti itu telah mengenal pasti empat hingga lima kerusi yang akan dibawa ke meja perundingan semasa perjumpaan BN.

Mengulas lanjut, Vigneswaran berkata MIC tidak akan bertanding dalam sesuatu kerusi kerana hanya diberi peluang.

"Bukan kita Ini nak bertanding supaya kita dapat bertanding. Kalau kita tak boleh menang pun tak guna.

"Jadi, perkara yang harus kita pertimbangkan adalah di mana kerusi-kerusi yang jika diberi peluang kepada MIC kita boleh menang bagi pihak MIC," katanya.

PRN Johor dijangka akan diadakan pada Feb ini.

Ia selepas Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan untuk membubarkan DUN Johor, sekaligus membuka laluan untuk PRN diadakan.

'Mungkin tanding empat DUN'

Sementara itu, sumber dalaman MIC berkata bahawa parti itu berkemungkinan akan bertanding di empat kerusi.

Katanya, parti itu akan kekal dua DUN tradisi dan menerima dua DUN baru.

"Kami akan kekal DUN Tenggaroh dan Kahang. Dan bertukar DUN Gambir dan Skudai akan ditukar kepada Tangkak dan Mengkibol.

"Bagi DUN Tenggaroh dan Kahang, MIC akan kekalkan penyandangnya (K Raven Kumar- Tenggaroh) dan (R Vidyanathan- Kahang).

"Di dua kerusi baru Tangkak dan Mengkibol akan dicalonkan masing-masing Setiausaha Agung MIC RT Rajasekaran dan bekas ketua bahagian MIC Kluang G Raman.

"Tapi, kita masih di peringkat awal. Mungkin akan ada pertukaran pada masa akan datang," katanya.

Pada PRU13, MIC bertanding di empat kerusi.

Parti itu menang DUN Tenggaroh dan Kahang dan kalah di Gambir dan Skudai.