'Tiada pilihan raya PAS tak sertai'
Walaupun belum membuat sebarang keputusan berhubung pilihan raya negeri (PRN) Johor, pemimpin PAS memberi gambaran parti itu akan turut mempertaruhkan calon mereka.
Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah berkata, kebiasaannya PAS Pusat akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan perkara itu.
"Biasanya bila ada pilihan raya kecil atau PRN parti akan panggil mesyuarat.
"Kita takda keputusan lagi, secara umumnya berdasarkan pengalaman yang lepas apabila ada pilihan raya PAS akan masuk bertanding, jumlah kerusi belum tentu.
"Biasanya takda pilihan raya yang kita tak sertai," katanya ketika diminta mengulas mengenai persediaan PAS menghadapi PRN Johor.
Dia berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Pelancaran Kolej Islam Sultan Ismail Petra (Kias) Sambutan Dua Dekad Penubuhan di Kota Bharu, hari ini.
Terdahulu Malaysiakini melaporkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, semalam.

Sementara itu Mohd Amar berkata PAS akan berbincang dengan semua parti sekutunya melalui Perikatan Nasional (PN) dan Umno melalui Muafakat Nasional (MN).
"Kita akan bincang semua, macam PRN Melaka pun kita bincang semua dengan Umno pun kita bincang hingga saat akhir, tapi oleh kerana tak ada persetujuan kita terpaksa bertanding atas tiket PN.
"Sebab kita usahakan untuk mengelak pertandingan tiga penjuru, itulah usaha utama kita antara tiga parti supaya PAS Umno dan Bersatu jangan bertembung dalam pilihan raya. Tapi nak cari formula itu yang sukar," katanya yang juga timbalan menteri besar Kelantan.
Sebagai rekod PAS memenangi satu kerusi di Johor pada pilihan raya umum lalu iaitu di DUN Bukit Pasir melalui calonnya Najib Lep.

