Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PH mahu kerjasama dengan semua pembangkang hadapi PRN Johor
Diterbitkan:  Jan 24, 2022 5:45 PM
Dikemaskini: 1:20 PM

PH memutuskan bahawa semua parti pembangkang, termasuk Pejuang, Warisan dan Muda, perlu bekerjasama bagi menghadapi PRN Johor yang bakal diadakan.

Perkara itu dimaklumkan pengerusinya Anwar Ibrahim ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat Majlis Presiden PH yang berlangsung kira-kira dua jam di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

"Ada beberapa persetujuan awal. Kita akan membuka ruang untuk semua kekuatan pembangkang dan masyarakat sivil (untuk) memastikan ada perubahan.

"Kalau ada sedikit retak (di kalangan pembangkang), tidak akan membantu. Jadi kita ada satu suara, satu tindakan dan satu strategi untuk memastikan kerajaan Umno BN dikalahkan bermula di Johor," katanya.

"Semua pembangkang, maknanya Pejuang, Warisan, Muda, masyarakat sivil dan parti-parti lain. Strategi kita mesti merangkul semua pembangkang," katanya lagi ketika diminta mengulas lanjut berkenaan perkara itu.

Susulan itu, katanya, PH Johor akan memulakan rundingan bagi pembahagian kerusi, termasuk kerusi yang sebelum ini ditandingi Bersatu ketika masih bersama gabungan itu.

Katanya lagi, soal pengagihan kerusi Senggarang, Mahkota dan Serom - yang dimenangi wakil Amanah yang kemudian menyertai PKR - turut diserahkan kepada kepimpinan di peringkat negeri.

Pada Februari 2021, Khairuddin A Rahim (Senggarang), Muhamad Said Jonit (Mahkota) dan Faizul Amri Adnan (Serom) melompat ke PKR.

Mereka menyusuli langkah dua Adun Amanah di Selangor, iaitu Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (Meru) dan Ahmad Mustain Othman (Sabak) pada November 2020.

Suruhanjaya Pilihan Raya akan bermesyuarat pada 9 Februari ini untuk menentukan tarikh PRN Johor.

Lihat Komen
ADS