Tengku Muhammad Ismail, putera sulung Sultan Mizan Zainal Abidin yang berusia lapan tahun, dilantik hari ini sebagai Pemangku Sultan Terengganu berikutan pelantikan ayahanda baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13.

Putera itu dilantik pada istiadat pelantikan Pemangku Sultan dan Majlis Penasihat Pemangku Raja, di Istana Maziah di Kuala Terengganu.

Tengku Muhammad dilantik sebagai Waris Ganti berkuatkuasa 12 Januari lepas dengan gelaran Yang Dipertuan Muda Terengganu.

Tengku Muhammad, yang diputerakan pada 1 Mac 1998, dimasyhurkan sebagai Pemangku Sultan bersesuaian dengan Syarat (1) Fasal 16AA, Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu (Bab Yang Kedua) Pelantikan Pemangku Raja.

Pemasyhuran Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail sebagai Pemangku Raja itu dibacakan oleh Tengku Seri Bendahara Raja, Tengku Mustaffa Kamel.

Ia mencatatkan satu lagi sejarah baru dalam pelantikan Raja-raja Melayu kerana baginda antara putera termuda pernah dilantik sebagai Pemangku Sultan.

Menurut laporan Bernama, ayahanda baginda pula menjadi antara Yang di-Pertuan Agong termuda.

Serentak pelantikan itu, Tengku Muhammad Ismail turut dikurniakan pingat Darjah Kerabat Terengganu Yang Amat Mulia (DK I) oleh ayahanda baginda sendiri Sultan Mizan.

Tengku Muhammad Ismail yang memakai persalinan songket serba kuning, kelihatan segak ketika menghadap Sultan Mizan untuk menerima anugerah tersebut sambil diiringi Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman dan Tengku Sri Temenggung Raja Tengku Badrul Hisham @ Tengku Baharuddin.

Istiadat itu turut menyaksikan pelantikan tiga ahli Majlis Penasihat Pemangku Raja memandangkan Tengku Muhammad Ismail belum mukallaf (cukup umur) untuk menjalankan kewajipan Pemangku Raja.

Majlis Penasihat Pemangku Raja tersebut diketuai oleh adinda Sultan Mizan, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman, bapa saudara Sultan Mizan, Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman Ismail dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman yang tamat perkhidmatan akhir bulan ini.

Ia selaras dengan syarat (2) Fasal 16 AA Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu (Bab Yang Kedua) yang memperuntukkan bahawa sekiranya Pemangku Raja ialah Waris Ganti yang belum Mukallaf, Duli Yang Maha Mulia Sutan hendaklah melantik suatu Majlis Penasihat Pemangku Raja untuk menjalankan kewajipan Pemangku Raja.

Antara tugas majlis tersebut ialah menjalankan kewajipan Sultan dengan kuasa pemutus kepada Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja setelah berbincang dengan semua ahli.

Sultan Mizan dan Sultanah Nurzahirah kemudiannya berangkat meninggal Majlis Singgahsana diriingi paluan nobat Sri Istana.