Cadangan penggabungan Utusan Melayu (M) Berhad dengan New Straits Times Press Berhad (NSTP) terus dibantah oleh anggota Dewan Rakyat dan Dewan Negara kerana langkah itu akan memesongkan halatuju Utusan Malaysia sebagai akhbar yang membela nasib orang Melayu.

Kebanyakan mereka menganggap penggabungan itu tidak akan membawa sebarang kebaikan, malah akan menghilangkan identiti akhbar masing-masing.

Di Dewan Rakyat, Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) yang bangun dan mencelah perbahasan Rang Undang-Undang Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) (Pindaan) 2006, berkata orang ramai turut terkejut dengan rancangan penggabungan dua akhbar arus perdana itu.

"Saya juga terkejut dengan rancangan ini dan ramai juga membantah dan tidak boleh terima yang Utusan Melayu ini akan bergabung dengan NSTP, ramai juga yang marah," katanya.

Isu penggabungan itu tercetus ketika Datuk Mohd Said Yusof (BN-Jasin) mencadangkan agar nama pengarah syarikat pemaju yang gagal menyiapkan projek sehingga menyebabkan terbengkalai dipaparkan dalam akhbar bagi mengelak pembeli rumah tertipu.

Menurut laporan Bernama, Mohd Said turut tidak bersetuju dengan rancangan penggabungan itu kerana Utusan Melayu sudah lama wujud dan banyak berjasa kepada negara serta orang Melayu sehingga kini.

"Buat apa nak bergabung, biarkan akhbar Utusan Malaysia dengan halnya dan NST dengan hal masing-masing, biar mereka bersaing apa salahnya," katanya.

Sementara itu di Dewan Negara, Senator Datuk Azizah Abd Samad pula mencadangkan agar satu syarikat "special purpose vehicle" ditubuhkan bagi membantu masalah percetakan yang dialami oleh Utusan Melayu.

"Masalah timbul sebab Kosmo dan Utusan (Malaysia) berebut untuk buat percetakan kerana kos yang tinggi, kalau ditubuhkan syarikat ini selain dapat membantu percetakan Utusan Malaysia, ia juga boleh menawarkan kepada syarikat lain untuk percetakan penerbitan lain," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2007.

Senator Datuk Mohamad Abd Ghani pula berkata penggabungan dua akhbar itu akan memesongkan halatuju Utusan Malaysia sebagai akhbar yang membela nasib orang Melayu.

"Buat apa nak bergabung dengan NST, beberapa tahun lepas NST sendiri tiada hala tuju, kalau masih bergabung dikhuatiri halatuju orang Melayu akan hilang," katanya.