Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Banjir besar akhir tahun lalu akibatkan kerugian lebih RM6 bilion
Diterbitkan:  Jan 28, 2022 2:50 PM
Dikemaskini: 6:50 AM

Negara menanggung kerugian berjumlah RM6.1 bilion ekoran banjir besar yang melanda 11 negeri pada bulan lalu, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Selangor menjadi negeri paling terkesan dengan kerugian berjumlah RM3.1 bilion, diikuti oleh Pahang (RM593.2 juta), Melaka (RM85.2 juta), Negeri Sembilan (RM77.1 juta) dan Johor (RM50.1 juta).

Dalam Laporan Khas Impak Banjir Malaysia 2021 yang dikeluarkan DOSM hari ini Ketua Perangkawan Malaysia Mohd Uzir Mahidin berkata jumlah kerugian keseluruhan itu bersamaan dengan 0.40 peratus berbanding dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal.

Katanya kerugian ini membabitkan kerosakan tempat kediaman, kenderaan,premis perniagaan dan perindustrian, industri pertanian dan aset awam serta infrastruktur.

"Tempat kediaman mengalami kerugian sebanyak RM1.6 bilion, kenderaan RM1.0 bilion, pembuatan RM0.9 bilion, premis perniagaan RM0.5 bilion, pertanian RM90.6 juta, manakala aset awam dan infrastruktur sebanyak RM2.0 bilion," katanya.

Sebanyak 60 daerah membabitkan kawasan di Johor, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor, Terengganu, Sabah, Sarawak dan Kuala Lumpur dinaiki air dalam kejadian tersebut.

Kuala Lumpur pula mengalami kerugian sebanyak RM32.4 juta, berbanding RM22 juta di Kelantan, RM9.3 juta di Sabah, RM3.4 juta di Perak and RM400,000 Terengganu.

Sarawak pula mencatatkan kerugian sebanyak RM10,000.

Daripada 60 daerah yang terkesan, Klang mencatatkan jumlah kerugian tertinggi iaitu sehingga RM1.2 bilion, diikuti Petaling (RM1.1 bilion) dan Hulu Langat (RM0.4 billion).

Kerugian RM3.1 bilion yang dicatatkan di Selangor termasuklah kerosakan tempat kediaman yang bernilai keseluruhan RM1.0 bilion, kenderaan (RM855 juta), premis perniagaan (RM396.4 juta) dan sektor pembuatan (RM884.5 juta).

Lihat Komen
ADS