mk-logo
Berita
'Umno tak rela jadi janda PAS'
Diterbitkan:  Jan 30, 2022 11:48 AM
Dikemaskini: 5:07 AM

Umno tidak rela menjalinkan hubungan dengan parti yang berubah keputusan dan pendirian "mengikut musim”, kata Naib Presiden Umno, Khaled Nordin.

Bekas menteri besar Johor itu berkata, Umno juga tidak mahu menjadi "janda" kepada PAS memandangkan rekod parti itu yang tidak pernah kekal dalam menjalinkan kerjasama.

“Umno tak mahu jadi ‘janda’ kepada PAS tapi dia bila-bila boleh ‘jandakan’ Umno.

“Sekarang padan muka Bersatu, kemungkinan PAS boleh ‘jandakan’ dia,” katanya seperti di laporkan Free Malaysia Today.

Melalui wawancara bersama portal itu, Khaled berkata Umno tidak mahu berunding dengan PAS dalam keadaan Umno kabur tentang parti itu.

Khaled berkata parti yang mendukung Muafakat Nasional (MN) sepatutnya tidak bertembung antara satu sama lain.

“Siapa yang menyukarkan (penyatuan PAS dan Umno),” soal Khaled lagi.

Semalam, PAS dan Bersatu dalam muzakarah kepimpinannya memutuskan untuk menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai satu pasukan di bawah panji Perikatan Nasional (PN).

Keputusan itu diumumkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang di ibu negara.

PAS dan Bersatu juga turut mengingatkan kerajaan bahawa sokongan yang diberikan kepada Ismail Sabri Yaakob bukanlah dibuat dengan begitu saja, sebaliknya bersyarat.

“Mempertegaskan sokongan PAS dan Bersatu dalam kerajaan persekutuan adalah bersyarat perlu dihormati dan dirundingi atas nilai integriti, antirasuah dan berkebajikan,” kata Muhyiddin, semalam.

Dalam pada itu Khaled berkata sudah berapa kali kerjasama PAS dengan parti lain gagal dan menggesa agar parti itu membuat keputusan yang betul.

"Di Melaka dia pilih Perikatan Nasional, di Sarawak dia bertanding (menentang GPS).

"Kemudian di Johor dia kata nak dengan BN… selepas itu,” soalnya lagi.

Lihat Komen
ADS