Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemimpin Bersatu Johor tempelak alasan Izhar keluar parti
Diterbitkan:  Jan 30, 2022 3:53 PM
Dikemaskini: 7:53 AM

Ketua Penerangan Bersatu Johor, Solihan Badri (gambar, judul) menepis alasan yang diberikan Adun Larkin Mohd Izhar Ahmad terhadap parti itu selepas dia bertindak keluar parti.

"Ada parti politik tertentu menyediakan naratif berhubung tindakan Adun Larkin, Mohd Izhar Ahmad, yang keluar Bersatu kononnya dengan harapan untuk menjejaskan kewibawaan serta imej parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

"Bagaimanapun tindakannya tidak memberi kesan kepada Bersatu melainkan ia sekadar memenuhi kehendak pihak yang mempengaruhinya berbuat demikian untuk melemahkan parti tersebut," dakwa Solihan dalam satu kenyataan hari ini.

Izhar yang juga exco pelaburan, pembangunan usahawan, koperasi dan sumber manusia Johor sebelum ini berkata faktor utama dia keluar parti kerana hilang kepercayaan terhadap Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Namun, Solihan membidas pengumuman Izhar itu yang telah memberi pelbagai alasan termasuk Bersatu hilang arah dan gagal melaksanakan agendanya.

'Izhar cetus persepsi negatif'

"Bersatu Johor juga menyifatkan alasan Izhar keluar parti selepas mendakwa hilang kepercayaan kepada presiden, Muhyiddin juga tidak berasas, sebaliknya kerana dia menganggap Perikatan Nasional (PN) akan tewas dalam PRN Johor sekali gus kehilangan jawatan exco dan lantikan ahli lembaga pengarah syarikat kerajaan negeri.

"Izhar beranggapan dengan keluar Bersatu, peluang untuk menyertai parti tertentu dan kekal menjadi exco adalah terbuka walaupun mendakwa tidak mahu mempertahankan kerusi DUN Larkin mahupun bertanding di mana-mana DUN lain pada PRN Johor kali ini," kata Solihan lagi.

Solihan juga menempelak Izhar (gambar, bawah) yang menyatakan sokongannya kepada BN ketika membuat pengumuman itu.

"Tindakan dan dakwaan Izhar kini mencetuskan pelbagai persepsi negatif sekali gus bakal memakan diri," tambahnya lagi.

Solihan turut mempersoalkan logik Izhar yang mendakwa Bersatu gagal dan hilang arah kerana sebagai exco kerajaan negeri, Izhar antara yang sepatutnya menggalas tugas itu.

"Malah mengelirukan apabila Izhar mendakwa prestasinya sebagai wakil rakyat dan exco yang berkhidmat dalam kerajaan negeri, berjaya melepasi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sedangkan beliau adalah wakil Bersatu iaitu parti yang didakwa hilang arah dan gagal," katanya lagi.

Izhar ialah Adun Bersatu kedua yang bertindak keluar parti selepas Mazlan Bujang berbuat demikian pada awal minggu ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS