Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Itik patah kaki bukan luar biasa, dulu PAS label Umno kafir, taghut'
Diterbitkan:  Jan 30, 2022 9:24 PM
Dikemaskini: 1:30 PM

Gelaran yang dilemparkan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang kepada Umno seperti 'itik patah kaki' bukanlah sesuatu yang luar biasa, kata Pengarah Komunikasi BN, Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Ini kerana katanya parti Islam itu pernah memberikan bermacam gelaran kepada Umno seperti 'taghut', anti-Islam, malah 'kafir'.

"Taghut, anti-Islam, malah kafir pun pernah dilemparkannya.

"Kerana itu bila keluar pula tuduhan Umno umpama "itik patah kaki", ia juga bukan luar biasa. Kerana itulah cara dan sikap PAS sejak dulu.

"Saya cuma hairan. Dalam keadaan mahu Umno bersama, pimpinan Umno dilabelnya dengan pelbagai gelaran. Sikap beginilah menjadi antara penyebab Muafakat Nasional menjadi hambar," katanya dalam kenyataan.

Jumaat lalu, Abdul Hadi Awang memberi perumpaan kepada Umno sebagai "itik patah kaki" yang telah disembuhkan PAS dan kini cuba untuk berenang sendiri.

Abdul Hadi memberi gelaran itu ketika mengulas tindakan Umno memutuskan kerjasama dengan Bersatu serta jalan sukar yang dicapai Muafakat Nasional (MN) selepas pilihan raya umum lalu.

“Kita selamatkan itik yang patah kaki ini, bukan nak ajar berenang. Dia patah kaki.

“Malangnya bila kakinya dah pulih, dia nak berenang sendiri. Nak tinggal kita. Jadi, itu satu benda yang tidak bermoral dan tak betul,” kata Abdul Hadi yang juga anggota parlimen Marang.

Umno sebelum ini memutuskan kerjasama dengan Bersatu seperti yang disepakati dalam Perhimpunan Agung Umno tahun lalu.

Parti itu dan gabungannya, BN juga baru-baru mengumumkan akan bertanding secara sendirian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sepertimana yang dilakukan ketika PRN Melaka pada Nov lalu.

'Bukti PAS cuba jadi Abang Long'

Shamsul berkata, tindak tanduk Abdul Hadi itu menunjukkan PAS cuba untuk menjadi ‘Abang Long’ dalam Muafakat Nasional yang dibentuk selepas PRU lalu.

"Apa yang jelas. PAS dilihat mahu mengajar Umno. Kerana itu sebenarnya bukan Umno yang mahu menjadi Abang Long. Sebaliknya PAS sendiri.

"Namun saya yakin rakyat menilainya kerana rakyat punyai kebijaksanaan,” katanya.

Selain itu Shamsul juga menyangkal dakwaan Abdul Hadi bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan datang dicetuskan oleh ‘kluster mahkamah’ dari dalam Umno dan mereka yang tidak berjawatan.

"Pilihan raya negeri Johor dilaksana berasaskan undang undang tubuh kerajaan Johor. Kemudian diperkenan pembubaran oleh Tuanku Sultan Johor.

"Justeru tuduhan ia adalah agenda pemimpin ‘kluster mahkamah’ dari Umno dan dari mereka yang tidak berjawatan sangat tidak berasas serta tidak sepatutnya keluar daripada seorang "ilmuan" dan pemimpin utama parti yang kononnya berjuang untuk Islam,” katanya.

Lihat Komen
ADS