Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hubungan dengan Umno: 'Kesabaran PAS ada hadnya'
Diterbitkan:  Feb 2, 2022 3:00 AM
Dikemaskini: 9:17 AM

PAS berpandangan siri "pengkhianatan" oleh Umno bukan dicetuskan parti itu secara keseluruhan, tetapi oleh puak tertentu di dalamnya.

Namun Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam Khirudin berkata kesabaran partinya dalam mendepani kerenah Umno ada batasnya.

"Ada segelintir pemimpin Umno nak bertindak keterlaluan dengan pelbagai yang berlaku, seperti di pembubaran DUN di Melaka, begitu juga (rampasan kuasa) di Perak. Sekarang ini berlaku di Johor.

"Jadi kita tak boleh letakkan Umno secara keseluruhan dalam satu bakul. Ada kluster-kluster tertentu. Penghormatan PAS kepada Umno adalah terhadap kluster yang mahukan penyatuan ummah dan yang fokus untuk Malaysia kembali kepada tempatnya selepas berdepan dengan Covid-19.

"Namun begitu, kesabaran PAS ada hadnya," katanya ketika sesi dialog bersama Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan.

Khairil Nizam tidak menyebut sebarang nama secara khusus tetapi berkata kluster yang menimbulkan masalah adalah mereka yang berdepan kes mahkamah dan telah "memalukan negara di peringkat dunia".

"Kluster mahkamah ini bukannya sains roket, maklumatnya boleh diakses di mana-mana. Kalau tak percaya, pergi ke luar negara (dan) tanya mereka kenapa mereka kenal Malaysia.

"Ini memalukan. Maruah (negara) tergadai kerana kejahatan pemimpin-pemimpin ini. Kenapa kita nak letak pemimpin ini menerajui tampuk pemerintahan negara sekali lagi?" soalnya.

Terdahulu, PAS telah berusaha mewujudkan kerjasama politik dengan Umno dan Bersatu.

Namun, Umno di bawah kepimpinan Ahmad Zahid Hamidi dilihat mengenepikan mereka dalam usaha untuk sekali lagi mendominasi secara sendiri.

Kata Khairil Nizam lagi, walau PAS bersikap sabar, titik perubahan berhubung perkara itu boleh berlaku.

Pada masa sama, dia berkata beberapa pertimbangan perlu diambil kira.

Jika ia menjejaskan penyatuan orang Islam, katanya lagi, PAS "tidak akan teragak-agak" untuk mengambil tindakan terhadap hubungan dengan Umno.

"Pengkhianatan sebilangan pemimpin Umno terhadap hubungan kita dalam Muafakat Nasional atau kerajaan Perikatan Nasional sedang diambil kira.

"Kalau tanya saya bila turning point untuk PAS, ia perlukan prosedur," katanya.

Dia berkata, jika isu tersebut terus disuarakan dengan kuat, muktamar khas mungkin diadakan untuk membincangkannya sebelum dibawa ke Majlis Syura Ulamak untuk menentukan dasar parti.

"Kita harap rakyat, khususnya ahli PAS dan Bersatu supaya bersabar. Tindakan yang kita ambil berstrategi, berperingkat, jangan gopoh," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS