Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Tiada angin, tiada ribut, Kedah baik-baik saja - Sanusi

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor sekali lagi menafikan desas-desus bahawa kemungkinan berlaku penarikan sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan PAS.

Sebaliknya, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat itu berkata negeri lain boleh contohi keamanan dan kestabilan yang terbina di Kedah.

"Tak ada ura-ura. Tak ada angin. Tak ada ribut dan tak ada pokok bergoyang.

"Saya tak tahu siapa yang sengaja reka cerita tak masuk akal ini.

"Kedah baik-baik sahaja. Pihak-pihak di negeri lain boleh contohi keamanan dan kestabilan yang terbina dan terpelihara di Kedah," katanya kepada Malaysiakini.

Dia berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan yang mengakui tidak tahu situasi sebenar dalam kerajaan negeri Kedah berhubung ura-ura berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN)

Pun begitu Mohamad Hasan, berpendapat dia tidak melihat ada keperluan untuk PRN diadakan di Kedah.

Pada 30 Jan lalu salah seorang Adun Umno Kedah, Norsabrina Mohd Noor, menafikan dia serta seorang lagi wakil rakyat parti itu akan menarik sokongan mereka kepada Sanusi.

Sanusi dipilih sebagai menteri besar Kedah pada 2020 selepas kerajaan PH yang diketuai oleh Mukhriz Mahathir tumbang. Dia kini mempunyai sokongan 23 Adun dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

PAS mempunyai 15 kerusi dan disokong oleh Bersatu yang memiliki enam kerusi menjadikan jumlah wakil rakyat di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN) adalah seramai 21 orang.

Sementara itu, Umno kini memiliki dua Adun di Kedah dan secara teknikal tidak mampu menumbangkan kerajaan negeri yang hanya memerlukan 19 kerusi untuk membentuk majoriti mudah.

Lihat Komen
ADS