Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kumpulan alam sekitar gesa siasat isu jual tanah hutan dalam talian
Diterbitkan:  Feb 3, 2022 11:02 AM
Dikemaskini: 12:20 PM

Sebuah kumpulan yang terdiri daripada aktivis alam sekitar, hak asasi manusia dan politik menuntut penyiasatan terhadap iklan di internet yang mempromosikan penjualan tanah hutan.

Ini selepas tinjauan Rimba Disclosure Project (RDP) mengenal pasti dan mengesahkan 43,539 hektar tanah hutan di Semenanjung Malaysia yang dijual melalui 28 penyenaraian di pelbagai laman web e-dagang.

Ia termasuk tanah dalam hutan simpan, kawasan Central Forest Spine dan tanah adat orang asli yang diiklankan untuk ditukar kepada tanah pertanian dengan pajakan selama 99 tahun.

"Kami menuntut pihak berkuasa menyiasat pengiklanan dalam talian bagi kawasan hutan yang luas di Semenanjung Malaysia, kononnya untuk penjualan dan penukaran guna tanah; dan melaporkan secara terbuka hasil siasatan.

“Jika ada mana-mana undang-undang yang telah dilanggar, tindakan undang-undang mesti diambil,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

Mereka menambah bahawa semua kerajaan negeri juga mesti memastikan undang-undang, dasar dan amalan pemuliharaan yang berkaitan dihormati untuk menghentikan kadar penebangan hutan yang pesat dan melindungi daripada perubahan iklim.

Mereka menambah bahawa laman web penyenaraian hartanah juga harus menggalas tanggungjawab etika mereka untuk melawan kemusnahan alam sekitar dengan menawarkan penelitian yang lebih baik terhadap penyenaraian di laman web.

Mereka menegaskan penyenaraian tanah seluas 43,539 hektar itu bersamaan dengan saiz sembilan kali ganda Putrajaya.

“Ini berpotensi melibatkan kehilangan ketumpatan karbon hutan sehingga 6,857,550 tan karbon dioksida.

"Penjualan tanah hutan adalah tidak konsisten dengan ikrar Malaysia untuk mengekalkan 50 peratus daripada jumlah kawasan tanahnya sebagai litupan hutan, serta komitmennya di bawah Deklarasi Pemimpin Glasgow mengenai Hutan dan Penggunaan Tanah untuk 'menghentikan dan memulihkan kehilangan hutan dan degradasi tanah menjelang 2030, serta tanggungjawabnya untuk mengutamakan tindakan iklim di bawah Perjanjian Paris," kata mereka.

Mereka menyatakan bahawa sekurang-kurangnya tiga penyenaraian dalam talian menyifatkan tanah dan hutan untuk dijual sebagai "dara" manakala empat penyenaraian berjumlah 2,689 hektar berada dalam hutan simpan termasuk hutan simpan Tekam, Lebir dan Neggiri.

"Sekurang-kurangnya satu penyenaraian terletak terus dalam kawasan Central Forest Spine (CFS) (PL03), yang akan memberi kesan kepada koridor habitat penting. Tambahan pula, penyenaraian di hutan simpan Tekam, Lebir dan Nenggiri terletak terus di dalam Kompleks Hutan Greater Taman Negara CFS dan Kompleks Hutan Banjaran Utama CFS," kata mereka.

Mereka berkata beberapa penyenaraian dalam talian turut melibatkan tanah di kawasan sensitif ekologi yang terdedah kepada banjir.

“(Ia termasuk) wilayah Ulu Tembeling yang sangat terdedah kepada banjir tahunan, Gua Musang dan Terengganu yang semakin terdedah kepada konflik manusia-hidupan liar termasuk ternakan dan pemangsaan manusia oleh harimau, dan Lojing yang terdedah kepada tanah runtuh,” kata mereka. .

Tambah mereka, 21,000 ekar lagi di Muadzam Shah, Pahang merupakan sebahagian daripada tanah adat orang asli di Kampung Berengoi.

"Sesetengah penyenaraian dijual di bawah nama "tanah milik sah kerabat kesultanan" atau "tanah kesultanan" dan memerlukan siasatan dan pengesahan lanjut," kata mereka.

Kenyataan bersama yang ditujukan kepada menteri besar negeri, Jabatan Perhutanan dan agensi berkaitan yang mentadbir tanah di Malaysia, telah diperakui oleh 28 organisasi.

Ini termasuklah AJ Rimba Collective, Alliance of River Three, Badan Warisan Malaysia, Centre for Orang Asli Concerns, Greenpeace Malaysia, Klima Action Malaysia, Malaysian Nature Society Selangor, Pertubuhan Pelindunga Khazanah Alam (Peka), Sahabat Alam Malaysia.

Lihat Komen