Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRN Johor: Integriti, kredibiliti calon PN tak diragui - Wan Saiful
Diterbitkan:  Feb 4, 2022 10:50 AM
Dikemaskini: 3:37 AM

Calon Perikatan Nasional (PN) bagi pilihan raya negeri (PRN) Johor akan dipilih berdasarkan integriti dan kredibiliti yang tidak diragui serta mewakili pelbagai golongan, kata Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan.

Wan Saiful berkata PN bakal meletakkan calon daripada golongan belia, wanita dan ahli parti gabungan itu yang berpengalaman serta pemimpin dikenali.

“Kami gabungkan dan adunkan calon-calon ini supaya dapat menjadi ‘tarikan’ kepada masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Jelajah Penerangan Isu Semasa di Kampung Sri Lukut, di Kluang, Johor, malam tadi.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata bagaimanapun senarai calon masih dalam perbincangan dan akan diumumkan pada masa yang sesuai.

“Tentang bilangan calon, kami terima cadangan daripada pemuda, wanita dan bahagian-bahagian PN. Semua ini dipertimbangkan dan kami pastikan yang dipilih adalah terbaik untuk berkhidmat kepada rakyat Johor,” katanya.

Mengenai persiapan menghadapi PRN Johor, beliau berkata semua jentera PN sudah bersedia untuk bergerak membantu bakal calon dalam berkempen.

PRN Johor bakal diadakan tidak lama lagi susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pada 22 Jan lepas dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan tarikh pilihan raya berkenaan pada 9 Feb ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS