Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Surat terbuka gesa henti 'sindiket' perjanjian pekerja Malaysia-Bangladesh

LAPORAN KHAS | Tekanan semakin meningkat ke atas Putrajaya untuk menamatkan apa yang disifatkan sebagai "monopoli, eksploitasi dan manipulasi besar-besaran" dalam pengambilan pekerja asing Bangladesh di Malaysia.

Ini berdasarkan surat terbuka tanpa nama yang diedarkan kepada media. Surat itu, bertarikh 24 Jan, ditujukan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina.

Tiada tandatangan dalam surat terbuka itu yang dipercayai dikongsi oleh pemberi maklumat (whistleblower) dari dalam Putrajaya.

Bagaimanapun, kandungan utama, termasuk surat rasmi daripada Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia, sepadan dengan dokumen asal yang dilihat oleh Malaysiakini dan disahkan oleh sumber yang rapat dengan kerajaan.

Dokumen itu termasuk Surat Pernyataan Niat (LOI) dan Surat Setuju Terima (LOA) yang dikeluarkan oleh kerajaan kepada penyedia penyelesaian IT Bestinet Sdn Bhd dan agensi pengambilan tenaga kerja Synerflux Sdn Bhd - dua syarikat yang terlibat dalam menguruskan proses yang terlibat untuk mengambil pekerja asing - daripada permohonan majikan Malaysia hingga kelulusan mereka permit kerja di sini.

Surat terbuka itu merujuk kepada pengambilan yang dijalankan sebelum 2018 dan ketibaan pekerja akan datang di bawah perjanjian terbaru Malaysia-Bangladesh selama lima tahun, mendakwa kebangkitan semula "sindiket" yang berkaitan politik dan kemungkinan pelanggaran undang-undang persaingan di kedua-dua negara.

“Seperti Akta Persaingan Bangladesh 2012, Malaysia juga mempunyai Akta Persaingan 2010 (Akta 712) yang sangat terpakai dalam perkara ini (pengambilan pekerja).

“Undang-undang juga terpakai kepada mana-mana aktiviti komersial yang diurus niaga di luar Malaysia yang mempunyai kesan ke atas persaingan dalam mana-mana pasaran di Malaysia,” kata surat itu.

“Akta Persaingan 2010 melarang keras sebarang perjanjian mendatar atau menegak antara perusahaan yang menghalang, menyekat atau memesongkan persaingan dalam mana-mana pasaran untuk barangan dan perkhidmatan dengan ketara.

"Kenyataan berulang oleh Datuk Seri M Saravanan untuk 25 agensi utama yang akan disokong oleh 250 subagensi adalah jelas melanggar Akta Persaingan 2010," kata pengarang tanpa nama surat itu.

Saravanan (gambar, atas) dalam temu bual baru-baru ini telah menafikan wujudnya sindiket atau monopoli dalam pelantikan agensi pengambilan Bangladesh, bertentangan dengan kebimbangan yang dibangkitkan oleh Persatuan Agensi Pengambilan Antarabangsa Bangladesh (Baira) dan aktivis migran.

"Sekiranya kami ingin monopoli pengambilan pekerja, kami boleh mengekalkan 10 agensi sahaja dengan alasan ianya telah dipersetujui dalam MOU asal. Jadi, tiada isu monopoli," katanya kepada Malaysiakini

Peraturan baru itu akan menggantikan perjanjian awal tiga tahun yang pertama kali dirundingkan pada 2015 di bawah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi ketika menjadi menteri dalam negeri ketika itu, untuk membawa masuk 1.5 juta pekerja asing Bangladesh.

'Tiada kontrak rasmi'

Sumber yang rapat dengan kerajaan, bercakap dengan syarat tidak mahu namanya didedahkan, mendakwa bahawa Synerflux mahupun Bestinet tidak menandatangani perjanjian rasmi dengan kerajaan selepas kedua-dua syarikat menerima Surat Setuju Terima.

“Satu sindiket besar-besaran 10 syarikat, kini berkembang kepada 25, kerana mereka perlu menjaga lebih ramai orang, dan semua perkara ini berlaku tanpa kontrak dengan kerajaan,” dakwa sumber itu.

“Kerajaan tidak boleh meneruskan sebarang projek tanpa menandatangani kontrak,” kata sumber itu.

Sumber itu berkata, LOA terbaru yang dikeluarkan kepada Bestinet, turut dilampirkan pada surat terbuka itu, bertarikh 12 Jan 2018, tujuh bulan sebelum Kulasegaran mengumumkan penggantungan operasinya berhubung dakwaan terlibat dalam penipuan pengambilan pekerja yang mengeksploitasi pekerja Nepal.

Lebih setahun kemudian, Kulasegaran (gambar, bawah) bagaimanapun, memberitahu parlimen pada 5 Dis 2019, bahawa dakwaan yang pada asalnya dibuatnya terhadap Bestinet didapati "tidak berasas."

Pakatan Harapan (PH) mengambil alih Putrajaya daripada BN menerusi pilihan raya umum ke-14 pada 2018. Sejurus selepas itu, menteri sumber manusia ketika itu M Kulasegaran mengumumkan bahawa perjanjian 1.5 juta pekerja akan disemak.

Kulasegaran bertindak untuk menggantung pengambilan pekerja dari Bangladesh yang dijalankan di bawah Sistem Permohonan Pekerja Asing (SPPA) Synerflux pada 1 Sept 2018, sebelum memulakan semula rundingan dua hala dengan Bangladesh.

“Pada masa itu (2018), hampir 300,000 pekerja Bangladesh diambil melalui sindiket ini dan terpaksa membayar yuran tinggi sehingga RM20,000 seorang.

“Sindiket itu terdiri daripada hanya 10 agensi (daripada 1600 agensi Bangladesh yang berdaftar) yang mewujudkan ‘super monopoli’ dan pekerja tertakluk kepada pelbagai eksploitasi dan manipulasi,” baca surat itu.

Surat kelulusan Kementerian Dalam Negeri kepada Synerflux, bertarikh 23 Jan 2017 - dengan senarai 10 Agensi Pengambilan Bangladesh terpilih - serta surat penamatan syarikat bertarikh 16 April 2019, di lampirkan pada surat terbuka itu.

Surat penamatan Synerflux memetik istilah di bawah Surat Pernyataan Niat yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri kepada syarikat itu pada 26 Ogos 2015, yang menyatakan, “kerajaan berhak untuk menamatkan atau menangguhkan pelaksanaan projek yang dicadangkan, atau mengubah pelaksanaannya sama ada dalam skop atau kos.”

"Dalam hal ini, kerajaan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kos atau perbelanjaan yang ditanggung oleh Synerflux jika projek itu dihentikan," menurut LOI berkenaan, juga dilampirkan pada surat terbuka itu.

Aminul Islam didakwa ketuai sindiket lama

Bagi Bestinet pula, sumber itu berkata tiada kontrak yang sama ditandatangani untuk operasi Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS).

Sistem tersebut sebelum ini digunakan untuk menguruskan pekerja dari negara sumber lain selain Bangladesh dan kini kekal digunakan untuk semua pengambilan pekerja asing baru.

“Dahulu, dan sindiket lama tetapi sangat terkenal (Bestinet Sdn Bhd, Synerflux Sdn Bhd dan syarikat/ agensi bersekutu) yang diketuai oleh Dato' Sri Aminul Islam, seorang warga Bangladesh yang kini memegang kad pengenalan Kebangsaan Malaysia, melumpuh dan mencemarkan keseluruhan proses itu,” kata surat terbuka itu.

Seorang wakil luar untuk Bestinet memberitahu Malaysiakini syarikat itu "tidak berada dalam kedudukan untuk mengulas" mengenai dakwaan yang dibuat dalam surat terbuka itu.

Laporan media sebelum ini memetik Mohd Amin Abdul Nor sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bestinet tetapi rekod Syarikat Suruhanjaya Malaysia menyenaraikan Aminul Islam Abdul Nor, dipercayai nama sebenar Mohd Amin (gambar, bawah) sebagai salah seorang pengarah syarikat itu.

Semakan dengan rekod syarikat Synerflux juga mendapati ‘Aminul Islam Abdul Nor’ disenaraikan sebagai pengarah terdahulu, dilantik pada 23 Nov 2010, dan meletak jawatan pada 5 Julai 2015.

Pada 2015, Bestinet telah menafikan hubungan dengan Synerflux, susulan dakwaan yang timbul berikutan pelantikan syarikat itu untuk menguruskan 1.5 juta pekerja Bangladesh.

Bestinet menyifatkan FWCMS sebagai "penyelesaian holistik masa nyata dalam talian yang digunakan oleh pelbagai pihak berkepentingan untuk meningkatkan kecekapan dan ketelusan dalam keseluruhan proses pengurusan dan pengambilan pekerja asing."

Media Bangladesh pada masa lalu telah menonjolkan peranan Mohd Amin yang didakwa mengawal “sindiket” yang dibentuk oleh agensi terpilih, tetapi syarikat itu menafikan penglibatan langsung dalam merekrut pekerja asing.

Tuntutan sindiket itu juga melibatkan dakwaan pembayaran yang dibuat oleh agensi untuk dimasukkan dalam senarai yang diluluskan, serta lobi daripada individu yang mempunyai hubungan baik di Bangladesh dan Malaysia.

Bercakap kepada Malaysiakini, Saravanan berkata Mohd Amin tidak mempunyai rekod membekalkan pekerja asing.

“Berdasarkan rekod yang saya lihat di Kementerian Sumber Manusia, dan kami bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri, orang ini Amin hanyalah pembekal sistem, pemilik Bestinet dan pemaju FWCMS yang digunakan oleh kedua-dua kementerian.

“Saya tidak tahu siapa yang menyebarkan dakwaan (terhadap Amin) tetapi tidak ada di mana-mana pun lelaki ini membekalkan pekerja asing ke Malaysia, malah seorang pekerja pun tidak,” kata Saravanan.

Saravanan, bagaimanapun, mengakui terdapat individu - termasuk ahli BN dan MIC yang mempunyai kaitan di Bangladesh - yang secara peribadi melobinya untuk kepentingan dalam proses pengambilan pekerja.

"Saya tidak melayan sesiapa, senarai (agensi) datang dari Bangladesh [...] Dari hari pertama saya telah memutuskan saya tidak akan melayan mana-mana permohonan ini," kata Saravanan, yang juga timbalan presiden MIC.

Menteri itu dijangka membentangkan cadangan untuk melibatkan 25 agensi utama pengambilan pekerja Bangladesh pada mesyuarat kabinet minggu depan, menurut sumber.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pada 28 Jan bahawa permohonan baru oleh majikan untuk mengambil pekerja asing dari Bangladesh kini dibuka secara berperingkat.

[Baca laporan asal]

Lihat Komen
ADS