Malaysia dan 54 negara lain digesa untuk menyumbang “bahagian yang setimpal“ (fair share) kepada sebuah dana global bagi memerangi pandemik Covid-19, ketika ia cuba menampung jurang pembiayaan yang besar.

Berdasarkan perkiraan Access to Covid-19 Tools Accelerator (Act-A), Malaysia sepatutnya menyumbangkan kira-kira AS$90 juta (RM377 juta) kepada tabung itu sebagai bahagian yang dianggap setimpal.

Ia dikira berdasarkan saiz ekonomi dan tahap keuntungan yang bakal diraih Malaysia hasil daripada penyambungan aktiviti kegiatan global yang lebih cepat.

Wang itu akan digunakan ke arah menjalankan ujian, vaksin, rawatan, alatan perlindungan untuk pekerja kesihatan di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Act-A akan turut menyokong kajian untuk vaksin dan rawatan yang lebih baik, termasuklah memulakan kajian ke atas vaksin yang menawarkan perlindungan lebih luas ke atas varian Covid-19 berbanding vaksin generasi kini.

Hurainya, terdapat jurang yang terus wujud dalam akses kepada alatan yang diperlukan bagi menangani pandemik.

Sebagai contoh, katanya, daripada 4.7 bilion ujian Covid-19 yang dilakukan sejak awal pandemik, hanya kira-kira 22 juta (0.4 peratus) dilakukan di negara-negara berpendapatan rendah.

Wujud jurang pembiayaan

Hanya 10 peratus rakyat di negara berpendapatan rendah yang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

“Ketidaksaksamaan yang besar ini bukan sahaja mengorbankan nyawa, tetapi juga menjejaskan ekonomi dan menimbulkan risiko munculnya varian baru yang lebih bahaya yang mampu merosakkan keberkesanan alatan semasa sedia ada, dan mengheret hatta populasi yang ramai divaksin sekalipun mundur berbulan-bulan ke belakang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Act-A merupakan satu perkongsian yang terdiri daripada beberapa agensi dan NGO antarabangsa, termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), Bank Dunia, Wellcome Trust, Gabungan Inovasi Persediaan Epidemik (Cepi), dan Bill and Melinda Gates Foundation.

Ia menganggarkan AS$23.4 bilion untuk operasinya dari Okt 2021 hingga Sept 2022 dan berharap sejumlah AS$16.8 bilion akan datang dari negara-negara kaya.

Baki AS$6.5 bilion pula dijangka dibiayai sendiri oleh negara-negara berpendapatan sederhana.

Pun begitu, hanya AS$814 juta geran yang telah dicagarkan setakat ini, menyebabkan wujud jurang pembiayaan sebanyak AS$16 bilion - yang ia harap dapat ditampung menerusi rangka kerja pembiayaan yang baru digagas, iaitu “bahagian setimpal”.

Rangka itu bertujuan untuk menawarkan garis panduan tentang berapa banyakkah sumbangan yang wajar diberikan oleh sesebuah negara, dengan anggapan bahawa AS$0.5 bilion akan ditampung menerusi sumbangan hartawan dan sektor swasta.

“Sokongan terhadap pelancaran alatan bagi memerangi Covid-19 di peringkat global akan dapat membantu mengekang penularan virus, memutuskan kitaran varian, mengurangkan beban ditanggung pekerja dan sistem kesihatan, dan menyelamatkan nyawa.

“Bagi setiap bulan penangguhan, ekonomi global dijangka kehilangan hampir empat kali ganda daripada jumlah pelaburan yang diperlukan Act-A,” katanya.

Menurut Act-A, pengerusi bersama majlis pemudah cara - Norway dan Afrika Selatan - baru-baru ini menulis kepada pelbagai negara bagi menggalakkan mereka menyumbang kepada dana tersebut.

Ia terdiri daripada semua negara berpendapatan tinggi, negara berpendapatan sederhana tinggi G20, dan dua negara berpendapatan sederhana yang telah menyumbang kepada Act-A.

Sementara itu, satu jadual oleh Act-A menunjukkan bahagian setimpal untuk Malaysia bagi anggaran 2020/21 sepatutnya AS$150 juta (RM628 juta), tetapi tiada sumbangan yang dibuat. Bagaimanapun, ini tidak mengira sumbangan dalam bentuk barangan seperti derma vaksin.

Negara yang dijangka memberi sumbangan paling besar ialah AS. Bahagian sumbangannya bagi pusingan pembiayaan ini dikira pada AS$5.96 bilion, diikuti China (AS$2.14 bilion) dan Jepun (AS$1.46 bilion).

Ia turut menunjukkan enam negara telah mencapai atau melebihi komitmen bahagian setimpal mereka pada 2020/21, iaitu Kanada, Jerman, Kuwait, Norwy, Arab Saudi, dan Sweden.

[Baca laporan asal]