Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Warga Thai nak masuk M'sia bawa tomyam saja, bukan Covid-19'

Kerajaan Negeri Perak berharap supaya prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan lebih ketat di sempadan negara berikutan pengumuman Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang mencadangkan agar sempadan antarabangsa dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac ini.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata ini bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 yang mencatatkan peningkatan kes setiap hari ketika ini.

"Di Perak sempadan kita dengan Thailand saja di Pengkalan Hulu, Gerik. Sekarang, kita dapat rungutan orang ramai yang kedai tomyam tidak buka-buka lagi, sudah dua tahun. Kalau mereka (warga Thailand) mahu datang semula ke Malaysia (untuk bekerja), perlu bawa tomyam sahaja, bukan bawa balik COVID-19.

"SOP perlu diperketatkan lagi kerana kita tidak mahu nanti yang jadi mangsa rakyat Malaysia khususnya rakyat Perak," katanya.

Terdahulu, Saarani melancarkan Pelan Perancangan Strategik Majlis Bandaraya Ipoh, Ipoh Bandar Rendah Karbon dan Walkable City 2030, di sini hari ini yang turut dihadiri Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Bahari.

Mengulas lanjut, Saarani berkata kerajaan negeri tiada halangan dengan cadangan pembukaan semula pintu masuk negara itu kerana ia sebahagian daripada kaedah untuk memulihkan ekonomi negara.

Semalam, MPN mengesyorkan kerajaan membuka sepenuhnya sempadan negara seawal 1 Mac ini, tanpa keperluan kuarantin wajib sebagai langkah penting bagi menyokong pemulihan negara khususnya dalam sektor ekonomi dan pelancongan, serta mampu menarik pelabur asing ke negara ini.

Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ujian COVID-19 perlu dilakukan mengikut syor Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum berlepas dan sebaik tiba di pintu masuk utama negara.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS