Keluarga A Rayappan mengemukakan saman menuntut gantirugi RM10 juta terhadap Majlis Agama Islam Selangor (Mais) hari ini kerana mendakwa jabatan itu telah menyebabkan mereka mengalami trauma dan tekanan dalam menuntut mayat pemandu van itu.

Rayappan, 70, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 29 November lalu akibat kencing manis dan mayatnya menjadi rebutan antara keluarganya dan Mais yang pada mulanya mendakwa Rayappan seorang Islam.

Bagaimanapun, Mais kemudiannya menggugurkan semua tuntutannya dan mayat Rayappan diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan mengikut adat Kristian.

Balu Rayappan, Lourdes Mary a/p Maria Soosay, 69, dan anak-anaknya, Lawrence, 39, Mary, 45, Pushpa Mary, 41, dan Josephine, 44, memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui Tetuan A. Sivanesan & Co pada jam 3.43 petang.

Menurut laporan Bernama, keempat-empat anak Rayappan hadir di mahkamah bersama peguam A Sivanesan dan M Manoharan. Lourdes Mary bagaimanapun tidak hadir.

Writ saman itu akan diserahkan kepada Mais sebaik saja salinan dokumen itu yang telah dimeterai diperoleh dari mahkamah.

Dalam pernyataan tuntutan itu, keluarga Rayappan mendakwa pada 29 November lalu, apabila keluarga mendiang menuntut jenazahnya untuk pengkebumian mengikut agama Kristian, Mais melalui ejen, pengkhidmat dan/atau pekerjanya secara tiba-tiba datang dan menghalang mereka menuntut jenazah Rayappan dari HKL menyebabkan hospital itu tidak dapat menyerahkan jenazah Rayappan kepada mereka.

'Kelirukan mahkaman'

Mereka mendakwa Mais berbuat demikian atas alasan mendiang telah memeluk agama Islam di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dan didaftarkan di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Mengikut pernyataan tuntutan itu, kesemua plaintif sekeras-kerasnya menafikan dakwaan Mais dengan alasan, antaranya, Rayappan telah berkahwin dengan Lourdes Mary mengikut agama Kristian pada 15 Januari 1959 di Gereja Katholik di Church of St Anthony, Kuala Lumpur dan mendiang mengikuti serta menganuti adat resam agama Kristian sebelum kematiannya.

Keluarga Rayappan mendakwa tindakan Mais menghalang mereka daripada menuntut jenazah Rayappan adalah tidak berasas, tanpa alasan-alasan yang sah di sisi undang-undang dan berniat jahat (mala fide).

Mereka mendakwa Mais telah mengelirukan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 1 Disember lalu dengan menyebabkan suatu perintah ex-parte diberi yang akhirnya segala prosiding berikutan dan berkaitan dengannya dihentikan oleh Mais pada 7 Disember.

Keluarga Rayappan mendakwa Mais telah memutarbelitkan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Mahkamah Rayuan Syariah Shah Alam dan juga telah memutarbelitkan undang-undang syariah di Shah Alam.

Mereka juga mendakwa tindakan Mais telah menyebabkan kelewatan yang amat sangat bagi keluarga Rayappan dalam menuntut jenazah mendiang, mereka terpaksa melalui pelbagai tekanan emosi dan mental dan telah mengalami pelbagai kesakitan, kerugian, kehilangan dan kerosakan.

Justeru itu, kesemua plaintif menuntut ganti rugi RM10 juta, ganti rugi khas, faedah, kos dan apa-apa relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Status agama Rayappan dipersoalkan kerana dia pernah mengahwini seorang wanita Islam tetapi keluarganya mendakwa dia telah kembali ke agama asalnya.