Dian Lee, anak kepada taikun hartanah Lee Kim Yew, tampil menegaskan bahawa dia mempunyai prinsip sendiri.

Penegasan itu dibuat selepas terdapat pihak meragui penyertaannya dalam Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) susulan latar belakang bapanya yang dilihat rapat dengan bekas perdana menteri Mahathir Mohamad.

“Saya tak boleh tentutan siapa bapa saya. Apa yang boleh saya kata, saya ada prinsip, nilai dan kepercayaan sendiri,” katanya.

Dian Lee antara ahli baru berprofil tinggi yang menyertai Muda pada 23 Dis 2021 dan kini Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JKEP) Muda.

Pembabitannya itu mencuri tumpuan khususnya warga maya di media sosial.

Malah, penglibatan anak jutawan itu mencetuskan perdebatan di media sosial mengenai persoalan sama ada ia sesuatu yang baik atau bakal mengundang masalah kepada parti tersebut.

Ada yang berpendapat Lee harus dinilai berdasarkan sumbangan dan peranannya dan bukannya siapa keluarganya.

Pengkritik membangkitkan kebimbangan bahawa Muda akan menjadi terlalu elitis dan menyoal jika ia akan dapat memahami golongan pekerja dan membela mereka dalam isu seperti gaji minimum dan cukai progresif.

Namun, ada yang menegaskan terlalu awal untuk menilai Lee seperti itu.

Mengulas lanjut perkara itu, Lee berkata dia memahami keraguan yang ditimbulkan banyak pihak terhadap dirinya.

“Saya faham dari mana datangnya keraguan yang timbul berhubung penglibatan saya dalam politik.

"Rakyat Malaysia sudah terlalu banyak disakiti dan ditipu. Tahap kekecewaan rakyat juga begitu tinggi terhadap negara dan boleh difahami mengapa wujud syak wasangka sedemikian.

"Saya rasa penelitian ini sihat dan perlu untuk akauntabiliti,” katanya.

Bagaimanapun, kata Lee penglibatannya dalam politik tidak akan menguntungkan dirinya.

"Apa yang jelas ialah saya tidak akan menyertai parti pembangkang jika mahu kaya.

"Sebenarnya, saya lebih banyak rugi daripada untung.

"Hanya melalui masa saya akan dapat menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa hati dan niat saya adalah untuk membina Malaysia yang lebih progresif, telus dan inklusif demi masa depan negara dan anak-anak kita," katanya lagi.