PRN JOHOR | Amanah dan DAP melakukan pengorbanan besar apabila menyerahkan enam kerusi di Johor kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), kata setiausaha Pemuda Amanah Terengganu, Muammar Qaddafi Mohd Nasir

Dalam satu kenyataan hari ini, Muammar mempersoalkan sama ada pengorbanan itu berbaloi dan menguntungkan Pakatan Harapan (PH) atau sebaliknya.

"Amanah menyumbang 4 dari 6 kerusi terbabit, termasuklah dua daripada sudah mempunyai calon yang merupakan orang yang sangat penting dalam Amanah Johor, dan turut terpaksa berdepan asakan dalaman yang mempertikaikan keputusan kepimpinan yang menyerahkan kerusi yang berpotensi besar untuk menang.

"Penyerahan ini adalah semata mata untuk menjayakan idea penyatuan parti pembangkang, walaupun Muda bukan sebahagian dari komponen Pakatan Harapan.

"Jadi adakah pengorbanan ini berbaloi oleh Pakatan Harapan sedangkan jika tiga penjuru pun tidak menjamin kekalahan (BN) terutama Muda masih parti yang baru dan tidak terbukti kekuatan mereka?" katanya dalam kenyataan.

Untuk rekod, DAP memberi laluan kepada Muda untuk bertanding di dua kerusi iaitu Machap dan Bukit Permai.

Muammar dalam pada itu mempersoalkan adakah langkah itu menguntungkan PH memandangkan Muda bukan parti komponen PH dan dikhabarkan enggan bertanding menggunakan logo gabungan itu.

"Muda dilihat belum bersedia untuk memperlihatkan mereka sebahagian dari pasukan Pakatan Harapan namun hanya menjaja pada idea kesatuan pembangkang, di mana idea

itu akan memberi kelebihan kepada Muda, dan memberi mudarat kepada Pakatan Harapan sekiranya Muda tidak diraikan kerana kewujudan Muda adalah hanya mengambil segmen pengundi mereka, jadi mahu tidak mahu rundingan terpaksa dilakukan,” kata Muammar.

Tambahnya, Muda juga dilihat 'ekslusif' dalam kerangka hubungan mereka dengan parti parti pembangkang lain.

"Hanya sesekali dilihat pemimpin Muda sepentas dengan pemimpin Pakatan Harapan, itupun melibatkan kepimpinan tertinggi lalu bagaimana kerjasama antara peringkat akar umbi dapat dibentuk dan boleh bekerjasama untuk saling memenangkan?

"Oleh yang demikian, Muda memikul satu beban besar untuk membuktikan bahawa keputusan Amanah dan DAP membuka ruang kepada mereka adalah memberi keuntungan

kepada kedua belah pihak," katanya.

PKR dan Muda kini dalam proses rundingan kerusi pada PRN Johor.

Tarikh mengundi bagi PRN itu ditetapkan pada 12 Mac, manakala hari penamaan calon pada 26 Feb.