Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kenyataan Sanusi helah runtuhkan MN, kata Umno Kedah
Diterbitkan:  Feb 13, 2022 3:38 PM
Dikemaskini: 7:38 AM

Umno Kedah hari ini mengecam Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor bahawa kenyataan kritisnya terhadap Umno adalah alasan untuk mencari helah meruntuhkan Muafakat Nasional (MN).

Dalam kenyataan media hari ini, Setiausaha Umno Kedah Hashim Jahiya berkata bahawa tindakan Sanusi memperlekeh Barisan Nasional (BN) di Kedah menunjukkan dia tidak menghargai lagi Muafakat MN.

Malah, katanya, ia sangat bertentangan dengan "fatwa" PAS yang kononnya nekad mahu memperkukuh MN.

"Jelas bahawa segala tohmahan MB Kedah itu bagaikan alasan untuk mencari helah meruntuhkan MN, bukan mengukuhkan MN.

"Mungkin ini kenyataan beliau itu juga bertujuan mengaburi mata penyokong PAS di Johor yang khabarnya lebih sayangkan ukhuwah MN.

"Setelah mengeratkan silaturrahim bersama Umno-BN di PRK Tanjung Piai tempoh hari, sudah tentu ramai penyokong PAS yang keliru apabila MB Kedah ajar berkelahi dengan Umno-BN, sebaliknya menyeru untuk menyokong Bersatu yang menipu mereka hidup-hidup pada PRU ke-14 lalu.

"Mungkin sedih almarhum murabbi PAS Kedah diatas ketidakbijaksanaan kewarasan MB PAS ini," kata Hashim.

Persengketan antara PAS dan Umno kembali menjadi hangat setelah pemimpin dari kedua-dua parti mengecam satu sama lain menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Terbaru, Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS dilaporkan berkata bahawa kestabilan politik hanya boleh dicapai jika Umno dan BN disekat kemaraannya untuk kembali memerintah.

Ketika merasmikan Himpunan Petugas Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Kawasan Pulai di Johor, semalam, Sanusi berkata bahawa Umno-BN selepas mendapat kuasa mempunyai kecenderungan untuk mencetuskan pilihan raya negeri.

Umno Kedah perlu nilai semula hubungan bersama PAS

Sementara itu, Timbalan Ketua Umno Bahagian Merbok, Shaiful Hazizy Zainol Abidin meminta Umno Kedah perlu menilai semula hubungannya bersama PAS.

"Berdasarkan kedudukan ini, saya percaya wujud keperluan untuk Umno Kedah menilai semula hubungannya dengan PAS.

"Adalah tidak produktif jika kita terus menerus cuba berpura-pura bahawa kita boleh bekerjasama, sedangkan yang terlihat saban hari adalah kerapuhan demi kerapuhan yang seakan tidak boleh diselamatkan.

"Kedua-dua parti ini harus tegas dan jelas dalam pendirian masing-masing. Jika ingin memilih haluan berbeza, nyatakan. Jika terus mahu bekerjasama, berperangai lah dengan cara yang menggambarkan niat tersebut, dan bukan sebaliknya. Bukan terus bermusuh, berhujah ibarat gelegar buluh," katanya.

Sanusi dipilih sebagai menteri besar Kedah pada 2020 selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang diketuai oleh Mukhriz Mahathir tumbang. Dia kini mempunyai sokongan 23 Adun dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

PAS mempunyai 15 kerusi dan disokong oleh Bersatu yang memiliki enam kerusi menjadikan jumlah wakil rakyat di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN) adalah seramai 21 orang.

Sementara itu, Umno kini memiliki dua Adun di Kedah dan secara teknikal tidak mampu menumbangkan kerajaan negeri yang hanya memerlukan 19 kerusi untuk membentuk majoriti mudah.

Lihat Komen
ADS