mk-logo
Berita
Pelancong M’sia kandas di Manila, sijil vaksin MySejahtera tak diiktiraf 
Diterbitkan:  Feb 14, 2022 1:39 PM
Dikemaskini: 5:39 AM

Kedutaan Besar Malaysia di Manila bertindak membantu sekumpulan pelancong dari Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Manila Ninoy Aquino apabila sijil vaksin digital dalam MySejahtera mereka tidak diterima sebagai bukti bahawa mereka telah divaksin. 

Kementerian Luar memaklumkan pihak kedutaan sedang berhubung dengan agensi berkaitan bagi menyelesaikan isu berkenaan. 

'Kedutaan Besar Malaysia di Manila @myembassymanila kini berada di lapangan untuk membantu rakyat Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino untuk memasuki Filipina.  

"Wisma Putra sedang berhubung dengan agensi berkaitan untuk memudahkan proses dengan lancar," jelasnya pada ciapan di Twitter. 

Terdahulu portal The Star melaporkan seramai 15 pelancong Malaysia terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino Manila selepas kumpulan itu tidak dibenarkan memasuki Filipina oleh pihak imigresen berikutan menerima vaksin di Malaysia. 

Seorang penumpang dilaporkan berkata mereka dimaklumkan oleh pihak imigresen negara itu bahawa sijil vaksin digital dalam aplikasi MySejahtera tidak diterima sebagai bukti vaksinasi. 

Disebabkan itu, pihak berkuasa Filipina menghalang kemasukan 15 penumpang yang tiba menerusi penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad. 

Selain tidak dibenarkan memasuki negara itu, pasport mereka turut dirampas dan dimaklumkan akan dihantar pulang pada Selasa ini. 

"Bagaimanapun, penumpang yang berada dalam penerbangan dari KLIA tetapi menerima vaksin di Singapura atau United Kingdom dibenarkan akses ke negara itu. 

“Pasport kami telah dirampas dan kami diberitahu akan dihantar pulang. Memandangkan tiada hotel tersedia, kami terpaksa tidur di atas bangku atau lantai," katanya seperti dilaporkan. 

Katanya  pihak imigresen Filipina memaklumkan bahawa mereka perlu divaksin di negara lain seperti Singapura atau memiliki Sijil Vaksinasi Antarabangsa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Lihat Komen
ADS