Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Umno menang besar jika pengundi luar tak balik mengundi'
Diterbitkan:  Feb 15, 2022 6:14 PM
Dikemaskini: 10:14 AM

Bersatu menyatakan kebimbangan mengenai kemungkinan kadar keluar mengundi yang rendah pada pilihan raya negeri (PRN) Johor akan memberi kemenangan besar kepada Umno, seperti yang berlaku dalam PRN Melaka tiga bulan lalu.

"Saya tidak percaya dengan pandangan sesetengah pihak bahawa bilangan kes positif Covid-19 sengaja dinaikkan oleh Kementerian Kesihatan untuk menakutkan pengundi.

"Tuduhan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu tidak wajar.

"Tetapi pandangan saya ialah, jika rakyat takut atau tidak peduli untuk keluar mengundi, maka Umno akan bersorak gembira," kata Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, strategi Umno ialah memaksimumkan pengundi teras mereka yang keluar mengundi kerana kebanyakan pengundi teras Umno memang menetap dalam kawasan.

"Jika pengundi yang menetap di luar tidak balik mengundi, maka Umno akan gembira kerana yang menetap di luar kawasan ramai yang menyokong PN atau PH, bukan menyokong Umno," katanya.

Wan Saiful membuat perbandingan berdasarkan PRN Melaka yang menyaksikan hanya keseluruhan 65.85 peratus peratus keluar mengundi pada 20 Nov 2021.

Pada PRN itu, BN menyapu bersih 21 daripada 28 kerusi DUN yang ditandinginya.

"Di Melaka itulah yang memenangkan UMNO apabila mereka yang menetap di luar kawasan tidak balik mengundi. Fenomena ini Umno harap berulang kembali di Johor," katanya.

“(Sebab itu) saya menyatakan kebimbangan mengenai kadar keluar pengundi pada pilihan raya negeri akan datang semasa lawatan di DUN Kukup,” tambah Wan Saiful.

Dia menggesa mereka yang menetap di luar kawasan mereka supaya pulang mengundi.

"Inilah peluang untuk menentukan masa depan Johor. Jangan sia-siakan peluang ini dan pastikan undi anda dapat menghentikan kerakusan dan keangkuhan BN dan Umno," katanya.

Bersatu, bersama sekutunya PAS dijangka bertanding di 40 kerusi DUN.

PRN Johor akan diadakan pada 12 Mac dengan pencalonan ditetapkan pada 26 Feb.

Dewan Undangan Negeri Johor yang mempunyai 56 kerusi itu dibubarkan pada 22 Jan.

Kerajaan Johor menjadi rapuh selepas kematian Adun Kempas Osman Sapian yang menyebabkan Hasni hanya mempunyai satu majoriti di DUN.

Kematian Osman menyebabkan BN mempunyai 28 kerusi, terdiri daripada Umno (14 kerusi), MIC (dua), Bersatu (11) dan PAS (satu), berbanding 27 kerusi Pakatan Harapan iaitu DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam). .

PRN Johor merupakan PRN keempat yang diadakan semasa pandemik Covid-19 dan selepas pilihan raya umum 2018.

Lihat Komen
ADS