Langkah mengecualikan Sarawak daripada menerima peruntukan tambahan RM600 juta bagi pembangunan luar bandar di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) adalah satu tindakan 'diskriminasi secara terang-terangan', kata Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang.

Katanya, peruntukan itu juga dibuat tanpa kelulusan kabinet atau Parlimen yang sepatutnya badan yang bertanggungjawab meluluskan penyaluran peruntukan dana tersebut.

Lim juga menyifaatkan peruntukan segera RM3 juta bagi projek kecil melalui Umno bahagian itu, yang didakwanya untuk 'membeli sokongan perwakilan Umno ke perhimpunan agung Umno", sebagai satu 'perbuatan rasuah politik yang paling teruk'.

Berucap dalam satu majlis DAP di Bintulu, Sarawak Sabtu lalu, Lim berkata, adalah sesuatu yang "tragik dan menyedihkan" apabila Abdullah yang menang besar dalam pilihanraya umum 2004 dan berikrar untuk membasmikan rasuah, turut terbabit dalam perbuatan seumpama itu.

"[Ini menunjukkan] bahawa beliau telah kehilangan kemampuannya untuk membezakan antara wang rakyat dengan tujuan politik parti dan antara yang benar dan yang salah," kata Lim.

Kontrak untuk 'orang Umno'

Pada 13 November lalu, sehari sebelum perhimpunan agung Umno, Abdullah mengumumkan peruntukan tambahan RM600 juta diluluskan untuk melancarkan pembangunan kawasan luar bandar.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, peruntukan itu adalah tambahan kepada RM1.5 bilion yang diperuntukkan di bawah RMK9, yang diumum Mei lalu, untuk pembangunan luar bandar, yang didakwanya sudah habis dibelanjakan.

Menurut surat rasmi, peruntukan tersebut akan disaluarkan kepada kontraktor bumiputera kelas F bagi melaksanakan projek kecil di Semenanjung Malaysia dan Sabah.

Surat yang dikeluarkan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Mohd Zin Mohammad itu juga menyatakan dana tersebut diperuntukkan kapada 191 kawasan Parlimen, tidak termasuk Sarawak, di mana masing-masing akan memperolehi RM3 juta dan mesti dibelanjakan sebelum akhir tahun ini.

Jumlah bahagian Umno diseluruh negara ialah 191 bahagian. Tidak ada bahagian Umno di Sarawak.

Ketika dihubungi, beberapa ketua bahagian Umno mengesahkan mereka telah menyenaraikan nama kontraktor kelas F untuk diserahkan kepada pejabat daerah, yang akan memilih mereka yang layak menerima projek kecil bernilai antara RM20,000 hingga RM200,000.

Ketua Umno bahagian Labis, Datuk Sulaiman Taha memberitahu malaysiakini bahawa kontraktor yang menerima projek tersebut adalah di kalangan 'orang Umno'.

Pada 11 Disember lalu, Kementerian Kewangan menafikan dakwaan Lim di Dewan Rakyat bahawa RM600 juga adalah untuk pemimpin Umno peringkat bahagian.