PRN JOHOR | Kesemua gabungan parti politik dilihat bersedia untuk melengkapkan senarai calon bagi pilihan raya negeri (PRN) Johor hari ini.

BN dijadual akan mengumumkan senarai 56 calon di bangunan Umno negeri di Johor Bahru pada pukul 10 pagi.

Adalah menarik untuk melihat sejauh mana rundingan dapat dicapai oleh Umno dengan rakan komponen BN yang lain iaitu MCA dan MIC.

Umno mahu bertanding di 42 kerusi dalam pilihan raya berkenaan, berbanding 35 kerusi yang ditandinginya pada pilihan raya umum lalu.

Untuk itu, MCA dan MIC perlu menyerahkan sejumlah lima kerusi kepada Umno. Dua lagi diperolehi daripada kerusi Gerakan, yang bukan lagi sebahagian BN.

Pada PRU 2018, Umno bertanding di 35 kerusi, dikuti MCA (15), MIC (4) dan Gerakan (2).

Pada tengah hari ini, Parti Bangsa Malaysia (PBM), yang dikaitkan dengan ahli majlis tertinggi Bersatu, Zuraida Kamaruddin, juga akan mengumumkan calon mereka.

Parti itu dijangka bertanding di beberapa kerusi sahaja. Pengumuman itu akan dibuat di Ulu Tiram, di Johor Bahru.

PBM dilihat sebagai platform bagi Zuraida, yang dikatakan tidak disenangi dalam Bersatu.

Pada pukul 2 petang hari ini, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diasaskan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad akan mengumumkan calon parti berkenaan di Muar, Johor.

Pejuang hanya akan bertanding di 42 daripada 56 kerusi DUN Johor dan akan menumpukan kawasan majoriti Melayu.

Hadir pada majlis itu ialah Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir. Bapanya, bagaimanapun, tidak akan hadir kerana telah diberi nasihat untuk tidak bertandang ke Johor berikutan ancaman Covid-19 dan faktor usia.

Mahathir, yang akan berusia 97 tahun dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) awal bulan ini.

Strategi PN ala pembangkang

Pada pukul 2 petang ini juga, Muda akan mengumumkan calon terakhir daripada enam calon mereka di Johor Bahru. Dua kerusi itu ialah Parit Raja dan Machap.

Perhatian tertumpu pada majlis berkenaan bagi mengetahui apakah Muda akan bertanding menentang calon PKR.

PKR telah memberi amaran akan bertindak balas jika Muda berbuat demikian.

Pada masa ini, jemputan media adalah khusus bagi mengumumkan calon di dua kerusi yang diperuntukkan kepada Muda.

Kesemua enam kerusi yang ditandingi Muda diberikan oleh Amanah dan DAP. Bagaimanapun rundingan dengan PKR menemui jalan buntu.

Pada pukul 3.30 petang, giliran Perikatan Nasional (PN) pula mengumumkan calon mereka.

Rundingan kerusi PN agak lancar, memandangkan Johor bukan kubu bagi Gerakan dan PAS, sekali gus akan memberi laluan kepada Bersatu untuk memikul peranan utama.

Sesuatu yang perlu diperhatikan adalah sama ada PN akan meletakkan calon heavyweight di kubu kuat BN.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin, yang merupakan pemimpin Pakatan Harapan selama tiga tahun sebelum ini menggunakan strategi gaya pembangkang ketika menentang BN, dengan meletakkan calon heavyweight bagi menentang lawan mereka.

Ketika PRN Melaka pada November tahun lalu, PN meletakkan ahli majlis tertinggi Bersatu, Mas Ermieyati Samsudin, yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah bagi menentang Pengerusi Umno Melaka, Ab Rauf Yusoh di Tanjung Bidara.

PN juga mencalonkan Mas Ermieyati untuk dilantik sebagai menteri besar wanita pertama sekiranya memenangi Johor pada pilihan raya negeri itu.

Ermieyati bagaimanapun tewas tipis dengan majoriti 364 undi tetapi ia dilihat sebagai perkembangan yang baik di kubu kuat BN yang dahulunya tidak dapat ditembusi.

Sementara itu, DAP akan mengumumkan dua calon terakhirnya di Kulai, Johor, pada pukul 5 petang. Dua kerusi itu ialah Perling dan Skudai.

Ini akan menandakan berakhirnya pengumuman calon Pakatan Harapan. PKR dan Amanah telah pun mengumumkan senarai calon mereka sebelum ini.

Penamaan calon bagi PRN Johor ditetapkan pada 26 Feb manakala hari mengundi ditetapkan pada 12 Mac.