Peguam positif Covid-19, kes rasuah Bung Moktar, Zizie Izette ditangguh
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menangguhkan perbicaraan berkaitan rasuah terhadap Bung Moktar Radin dan isterinya, Zizie Izette A Samad selepas salah seorang peguam yang mewakili pasangan itu disahkan positif Covid-19.
Peguam K Kumaraendran yang mewakili pasangan itu mengesahkan mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menangguhkan perbicaraan yang sepatutnya dijadualkan hari ini.
"Mahkamah akan menetapkan tarikh perbicaraan semasa sebutan kes pagi ini," kata peguam itu ketika dihubungi.
Kes itu dibicarakan di hadapan hakim Rozina Ayob.
Bung, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berdepan tiga pertuduhan, dengan satu pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid melalui Zizie.
Pengerusi Umno Sabah itu didakwa melakukan kesalahan itu sebagai dorongan untuk dorongan untuk mendapatkan kelulusan menteri kewangan (II) agar Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bung didakwa melakukan kesalahan itu di cawangan Public Bank Taman Melawati di Jalan Bandar 12, Taman Melawati, Kuala Lumpur, antara 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.
Bagi pertuduhan kedua, Bung didakwa menerima rasuah RM262,500 daripada Madhi, melalui Public Islamic Treasures Growth Fund dengan nombor akaun 044797816 yang didaftarkan atas nama Zizie.
Bung juga menghadapi pertuduhan ketiga menerima suapan RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Norhaili Ahmad Mokhtar melalui nombor akaun Public Ittikal Sequel Fund 044797824, juga didaftarkan atas nama Zizie.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada pukul 12.16 tengah hari dan 12.28 tengah hari pada 19 Jun 2015.
Ketiga-tiga pertuduhan itu didakwa mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan Seksyen 24(1) Akta tersebut, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Zizie juga dibicarakan atas tiga pertuduhan bersubahat dengan Bung dalam melakukan kesalahan itu.

