Pegawai polis maut dengan kesan tembakan di kepala
Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor ditemukan maut dengan luka kesan tembakan di kepala di sebuah rumah di Jalan Selingsing di Kuala Lumpur, hari ini.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira 3.30 petang dan siasatan awal mendapati mangsa berusia 35 tahun itu merupakan seorang pegawai polis yang berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur.
"Punca kejadian masih belum dapat dikenal pasti dan pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur sedang menjalankan siasatan di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beh berkata, pihak ambulans yang tiba di lokasi kejadian bersama pegawai perubatan bertugas mengesahkan kematian mangsa pada 3.59 petang.
Beliau berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta tampil memberi keterangan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, ASP Foo Keat How 012-7461500 atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul 03-40482206 untuk tindakan lanjut.
- Bernama
Jika anda berasa tertekan, mempunyai kecenderungan bunuh diri, atau mengenali seseorang seperti itu, anda boleh menghubungi Befrienders untuk mendapatkan bantuan dengan mengikuti langkah-langkah di laman web.
Kementerian Kesihatan dan Mercy Malaysia juga telah menyediakan barisan sokongan psikososial untuk pekerja barisan hadapan dan lain-lain yang terjejas secara emosi akibat wabak Covid-19.
Talian boleh dihubungi di 011-63996482, 011-63994236 atau 03-9359935, dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

